Pergi ke kandungan

Wissenschaft

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wissenschaft adalah istilah bahasa Jerman untuk sebarang kajian yang melibatkan penyelidikan yang sistematik. Istilah ini sering diterjemahkan secara kasar sebagai sains, tetapi makna sebenarnya jauh lebih luas dan merangkumi setiap kajian akademik yang sistematik dari mana-mana bidang, misalnya kemanusiaan seperti seni atau agama. [1] Wissenschaft menggabungkan penyelidikan sains dan bukan sains, pembelajaran, pengetahuan, kecendekiawanan, malah menyiratkan bahawa pengetahuan merupakan proses dinamik yang dapat ditemui untuk diri sendiri, dan bukannya sesuatu yang diturunkan atau diwariskan, tidak semestinya melibatkan penyelidikan empirikal.

Wissenschaft dijadikan ideologi rasmi universiti-universiti Jerman pada abad ke-19, dan ini membawa kepada perkembangan universiti penyelidikan moden.[2] Ia menekankan penyepaduan kaedah-kaedah pengajaran dengan penyelidikan atau penemuan oleh pelajar secara individu, yakni Einheit von Lehre und Forschung. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah proses pengembangan dan pembentukan insan.

Beberapa orang Amerika abad ke-19 yang mengunjungi universiti-universiti Jerman mentafsirkan Wissenschaft sebagai "sastera tulen" yang tidak dicemari oleh tujuan sosial dan bertentangan dengan sastera liberal.[3] Beberapa lagi saintis dan ahli falsafah sezaman mengertikan Wissenschaft sebagai sebarang pengetahuan sebenar atau kaedah yang berjaya, termasuk pengetahuan dan kaedah falsafah, matematik, dan logik.[4]

Sebelum Immanuel Kant menerbitkan Kritik Pertimbangan pada tahun 1790, schöne Wissenschaft ("sastera halus") amat dipandang tinggi.[2] "Schöne Wissenschaft" ini termasuk subjek puisi, retorik, dan sebagainya, bertujuan memupuk pemahaman tentang kebenaran, keindahan, dan kebaikan. Kant berpendapat bahawa penilaian estetik bukanlah bidang pengetahuan yang sistematik, dan oleh itu terletak di luar lingkungan Wissenschaft.

Perbandingan dengan sains

[sunting | sunting sumber]

Walaupun Wissenschaft dan sains adalah kata-kata yang hampir serupa pada abad-abad sebelumnya, istilah science dalam bahasa Inggeris (yakni sains dalam bahasa Melayu) dikatakan sudah semakin sempit maknanya, sedangkan Wissenschaft memelihara maknanya yang luas.[5] Dalam bahasa Inggeris moden, science bermaksud pengetahuan objektif yang diperoleh secara sistematik mengenai subjek tertentu (cara kerja alam semula jadi, termasuk insan-insan yang terlibat) dan dihasilkan melalui kaedah-kaedah tertentu (kaedah saintifik) melalui proses menimba pengetahuan yang progresif dan berulang-ulang, sedangkan Wissenschaft merangkumi pengetahuan tentang objek dan juga kebenaran, seperti erti menjadi baik.

Kesukaran untuk mencapai ketepatan mengenai pengetahuan adalah salah satu sebab mengapa bahasa Inggeris tidak dianggap sesuai untuk perbincangan mengenai epistemologi, sebaliknya sering digunakan istilah dari bahasa lain, terutamanya bahasa Latin dan Jerman.[5]

  1. ^ Hansson, Sven Ove (2017). Zalta, Edward N. (penyunting). The Stanford Encyclopedia of Philosophy (ed. Summer 2017). Metaphysics Research Lab, Stanford University.
  2. ^ a b Bommel, Bas van (2015-12-14). "Between 'Bildung' and 'Wissenschaft': The 19th-Century German Ideal of Scientific Education German Education and Science". Europäische Geschichte Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-29.
  3. ^ R., Veysey, Laurence (1970) [1965]. The emergence of the American university. Chicago: University of Chicago Press. ISBN 0226854558. OCLC 8232894.
  4. ^ "Our Narrow Definition of "Science"". www.samharris.org. 2014-01-14. Dicapai pada 2016-03-04.
  5. ^ a b Sundholm, Göran (2014), "The Vocabulary of Epistemology, with Observations on Some Surprising Shortcomings of the English Language", Mind, Values, and Metaphysics (dalam bahasa Inggeris), Springer International Publishing, m/s. 203–208, doi:10.1007/978-3-319-05146-8_13, ISBN 9783319051451

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]