Windows 95
Windows 95 | |
---|---|
Maklumat umum | |
Jenis sistem | Windows 9x |
Keluarga sistem | Microsoft Windows |
Pembangun | Microsoft |
Keadaan kerja | Tidak disokong sejak 31 Disember 2001.[1] |
Model sumber | Sumber tertutup |
Keluaran untuk pembuatan | 24 Ogos 1995 |
Keluaran terkini | OEM Service Release 2.5 / 1996 |
Tersedia dalam | Senarai bahasa |
Didahului oleh | Windows 3.1 |
Diganti oleh | Windows 98 |
Ciri teknikal | |
Pelantar | Senarai pelantar yang disokong |
Jenis inti | Inti monolitik |
Lesen | Microsoft EULA |
Pautan berkaitan | |
Tapak web | www |
sunting · sunting di Wikidata |
Windows 95 adalah sistem pengendalian di dalam keluarga Windows yang berasaskan antaramuka pengguna grafik berorientasikan pengguna rumah. Ia dilancarkan pada 24 Ogos 1995 oleh Microsoft sebagai pembaharuan ketara daripada Windows 3.1x dengan menyepadukan MS-DOS dan Windows di dalam satu sistem pengendalian, sekaligus menjadikan Windows 95 sebagai sistem pengendalian penuh berbanding Windows 3.0 dan 3.1x yang hanya merupakan persekitaran pengendalian bagi MS-DOS.
Windows 95 menampilkan perubahan yang ketara dari segi antaramukanya. Format bagi antaramuka Windows 95 terus diguna pakai pada versi-versi Windows yang lebih terkini termasuklah Windows Vista. Bukan itu sahaja, malah format antaramuka Windows 95 turut ditiru pengeluar distribusi Linux di dalam persekitaran pengendalian antaramuka grafik pengguna Linux. Antaramuka Windows 95 adalah faktor utama Windows 95 menjadi sistem pengendalian paling berjaya pada masa tersebut.
Ciri-ciri Windows 95
[sunting | sunting sumber]32-bit
[sunting | sunting sumber]Windows 95 memerlukan pemproses 32-bit untuk berfungsi kerana Windows 95 menggunakan pemprosesan 32-bit bagi pengurusan sistem, fail dan cakera keras. Ini mengurangkan fungsi MS-DOS kepada sekadar pelancar but sahaja. Walau bagaimanapun, integrasi MS-DOS di dalam Windows 95 membolehkan Windows untuk membuka fail-fail dan program-program lama yang berjalan di bawah MS-DOS, di samping fail-fail dan program-program 32-bit.
Nama fail panjang
[sunting | sunting sumber]Di dalam MS-DOS, Windows 3.0 dan Windows 3.1x, nama fail hanya terhad kepada 8 aksara sahaja, diikuti 3 aksara sambungan (format 8+3). Windows 95 pula mula menyokong nama fail yang lebih panjang menerusi penggunaan sistem fail FAT.
Palam dan Main
[sunting | sunting sumber]Windows 95 turut menyokong teknologi Palam dan Main (Plug and Play), yang membolehkan Windows mengesan jenis perkakasan komputer yang dipasang, meminta pemacu peranti yang bersesuaian dan seterusnya menetapkan konfigurasi perkakasan secara automatik. Sebelum ini, pemasangan pemacu peranti serta konfigurasi perkakasan di dalam MS-DOS, Windows 3.0 dan 3.1x adalah agak rumit.
Antaramuka pengguna
[sunting | sunting sumber]Antaramuka pengguna Windows 95 adalah faktor utama bagi kejayaan besar Windows 95 sebagai sistem pengendalian paling berjaya pernah dihasilkan pada masa tersebut dalam masa 1-2 tahun selepas dilancarkan. Windows 95 terbukti sangat berjaya sehingga mampu menyebabkan banyak pemain utama sistem pengendalian serasi DOS gulung tikar, satu faktor utama yang kemudiannya membawa kepada tuduhan monopoli sistem pengendalian yang dihadapi Microsoft beberapa tahun kemudian.
Sementara Windows 3.0 dan 3.1x menggunakan pengurus program (Program Manager) bagi menguruskan sistem, fail dan program, Windows 95 pula menggunakan menu Start bagi pengurusan program serta Windows Explorer bagi pengurusan fail. Windows 95 adalah versi Windows pertama yang menggunakan menu Start bar tugasan di dalam antaramuka Windows, dan ciri-ciri tersebut dikekalkan di dalam kesemua versi Windows yang lebih baru.
Internet Explorer
[sunting | sunting sumber]Windows 95 OEM Service Release 1 (Windows 95 OSR1) adalah versi Windows pertama yang menyertakan perisian pelayar Web, Internet Explorer di dalamnya. Versi terakhir yang disokong oleh Windows 95 ialah Internet Explorer 5.5 yang dilancarkan pada tahun 2000. Sebelum Internet Explorer, Microsoft menggunakan perisian Microsoft Network.
Edisi
[sunting | sunting sumber]- Windows 95 (versi 4.00.950): 1995
- Windows 95 SP1 (versi 4.00.950a): 31 Disember 1995
- Windows 95 OEM Service Release 1 (OSR1) (versi 4.00.950A): 1996 - disertakan IE 2.0
- Windows 95 OSR2 (versi 4.00.950B): 1996 - disertakan IE 3.0, menyokong FAT32 dan UDMA
- Windows 95 OSR2.1 (versi 4.00.950B): 1996 - disertakan IE 3.0, menyokong USB, FAT32 dan UDMA
- Windows 95 OSR2.5 (versi 4.00.950C): 1996 - disertakan IE 4.0, menyokong USB, FAT32 dan UDMA
Keperluan sistem
[sunting | sunting sumber]Windows 95 hanya memerlukan sekurang-kurangnya pemproses Intel 80386 DX, 4 MB RAM dan 50 MB ruang kosong cakera keras, membolehkan pengguna Windows 3.1 untuk beralih ke Windows 95. Walau bagaimanapun, Microsoft mengesyorkan penggunaan pemproses Intel 80486 ke atas dan ingatan sekurang-kurangnya 8 MB ke atas.
Windows 95 boleh didapati dalam bentuk CD-ROM dan disket, memandangkan banyak komputer pada masa tersebut tidak dilengkapi pemacu CD-ROM. Versi disket didatangkan dengan 13 keping disket, tidak termasuk perisian tambahan bagi sesetengah versi Windows 95 seperti Internet Explorer.
Sokongan terhadap Windows 95 telah tamat pada 31 Disember 2001.
- ^ "Windows Life-Cycle Policy". Microsoft. Unknown parameter
|acessdate=
ignored (|access-date=
suggested) (bantuan)