Pergi ke kandungan

Tugu Negara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tugu Negara
توݢو نݢارا
Pemandangan Tugu Negara
Map
Maklumat umum
JenisMonumen awam
LokasiTaman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, Malaysia
NegaraMalaysia Sunting nilai ini di Wikidata
Koordinat3°9′N 101°41′E Sunting ini di Wikidata
Pembinaan bermula1963
Disiapkan pada8 Februari 1966
Maklumat ketinggian
Tinggi15 meter (49 ka)
Reka bentuk dan seni bina
ArkitekFelix de Weldon
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Tugu Peringatan Negara (atau juga dikenali ringkasnya sebagai Tugu Negara) telah disiapkan pada 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggungjawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat. Tugu ini juga adalah arca berkumpulan yang tertinggi di dunia.

Tugu Negara terawal merupakan tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara. Ia didirikan oleh Pentadbir British bagi memperingati peperangan dan pewira yang terkorban. Kini hanya asasnya tanah seluas 10 meter persegi yang tinggal.

Kompleks Tugu Negara yang ada kini di kawasan Taman Tasik Perdana dibuka pada 8 Februari 1966. Ia memasukkan Taman Peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira yang mengorbankan nyawa mereka bagi menjaga keamanan negara Malaysia. Tiang asal dialih ke Kompleks Tugu Negara kini dan padanya tercatat tarikh tragedi kemanusiaan: Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).

Peletupan Tugu Negara oleh Komunis

[sunting | sunting sumber]

Pengganas komunis bertindak mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Antara penduduk yang mendengar letupan itu adalah Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran. Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Sebaik sahaja letupan itu berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Travers dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Namun pihak komunis telah menafikan penglibatan mereka[perlu rujukan] dan menuduh ianya angkara perbuatan kerajaan sendiri sengaja merosakkan tugu tersebut yang dikatakan patung-patungnya menyerupai mirip wajah orang-orang barat seperti mempunyai hidung yang mancung[perlu rujukan] supaya mempunyai alasan untuk mengubah-suai semula wajah patung tugu itu menyerupai rakyat Malaysia tanpa dituduh bersifat perkauman dengan menyalahkannya kepada pihak komunis.

Pemuliharaan rekaan tugu dijalankan selama satu tahun oleh Christopher Carney, seorang pengukir Australia dan pensyarah Universiti Teknologi MARA bersama tiga anak didiknya Abdul Mansoor Ibrahim, Abdul Mufti Jantan dan Zolkeply Maulana.

Lokasi Hari Pahlawan dipindahkan

[sunting | sunting sumber]

Mulai 2010, lokasi sambutan Hari Pahlawan dipindahkan dari Tugu Negara ke Putrajaya.Tiada lagi upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang dianggap perbuatan syirik dan khurafat. Selama ini upacara memperingati Hari Pahlawan diadakan setiap 31 Julai setiap tahun. Sidang media tentang keputusan itu diberikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Jamil Khir Baharom. Upacara menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara itu diadakan sejak 1963 .

Keputusan ini sesuai dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 yang telah mengeluarkan fatwa bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.