Pergi ke kandungan

Tagahas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tagahas ialah salah satu suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah.[1] Mereka digolongkan ke dalam kelompok kaum Dusun disebabkan mereka berkongsi budaya, adat resam dan bahasa yang hampir serupa, dan seperti suku-suku Kadazan-Dusun yang lain Tagahas juga mengatakan bahawa asal-usul mereka adalah di Nunuk Ragang atau dalam bahasa mereka disebut "Pogun d Ama Ya" (bumi ibunda kami).

Gelombang Penghijraan

[sunting | sunting sumber]

Tidak diketahui tarikh yang tepat kemasukan suku Tagahas ke dalam wilayah Tambunan, tetapi menurut cerita nenek moyang suku Tagahas keluar dari Nunuk Ragang pada waktu berlaku krisis sosial yang disebut Tekanan Minorit. Dalam gelombang penghijraan besar-besaran suku-suku Kadazan-Dusun dari Nunuk Ragang, suku Tagahas dikatakan merupakan kumpulan yang terakhir keluar dari Nunuk Ragang. Dikatakan juga bahawa mereka ditugaskan sebagai penjaga bagian belakang (rearguard) kerana kepahlawanan mereka melawan kumpulan Minorit. Akibatnya, sewaktu suku Tagahas masuk ke Tambunan, suku kaum Tuhawon khasnya Sakag Gombunan dan Sakag Tamadon (nama daerah Tambunan dinamai sempena nama nama puak tersebut setelah mereka berdamai) telah pun mendahului suku kaum Tagahas dan dipercayai suku kaum Tuhawon merupakan peneroka pertama di kawasan Tambunan.[1] Tanda-tanda peninggalan penempatan suku kaum Tuhawon ini dapat dilihat dalam bentuk beberapa batu tugu atau Menhir di Kg Tebilong, dikawasan strategis iaitu pada pertemuan sungai Kaingaran, sungai Todulu dan sungai Pagalan.[2]. Kedua-dua suku ini selalu berlawan antara satu sama lain. Dikatakan kedua-dua puak itu juga mempunyai kuasa ghaib.[1]

Dalam penghijran tersebut suku Tagahas keluar dari Nunuk Ragang dalam dua rombongan, yang satu menelusuri pesisir sungai Liwagu Kawanan sehingga keturunan mereka menduduki kawasan seluas dari Tamparuli, Telipok dan Manggatal. Manakala yang satu lagi menelusuri sungai Liwagu Kegibangan. Dalam perjalanan melalui sungai Liwagu Kegibangan, mereka gagal mendapat tempat di-mana-mana antara Ranau sehingga Pahu kerena kawasan tersebut telah di huni oleh suku kaum Liwan. Sebaik masuk ke daerah Tambunan mereka menyerang penempatan suku Tuhawon dan berjaya merebut beberapa kawasan sehingga ramai suku kaum Tuhawan terpaksa pindah ke kawasan lain seperti Sunsuron dan Tikolod. Demikianlah permulaan zaman pemburuan kepala di Tambunan.

Mereka disebut Tagahas (kuat) kerana suku kaum KadazanDusun yang lain menganggap puak Tagahas ini memiliki kekuatan yang luarbiasa. Setelah selesai penghijraan, suku kaum Tagahas yang berhijrah melalui sungai Liwagu Kawanan mengambil posisi penempatan mereka di kaki pergunungan Banjaran Crocker Range Pantai Barat dari Tamparuli, Telipok dan Manggatal. Mereka menjadi pilihan utama oleh pedagang-pedagang Cina dalam kerja-kerja pengangkutan barang-barang antara daerah pantai barat dan pedalaman Tambunan/Keningau melalui apa yang disebut Jalan Garam atau "Salt Trail". Penempatan utama zaman dulu puak tagahas adalah di kampung mangi pangi, tombotuon , kapayan lama dan kampung papar dalam daerah Tambunan. Kemudian suku Tagahas yang masuk ke daerah Tambunan secara perang mendapat tempat di bagian tanah-tanah yang subur diantara Tibabar, Mogong, Kituntul dan sebagainya. Walaupun wujud adat tetapi suku kaum Tagahas, dengaan kekuatan mereka selalu mengenepikan adat ini demi kepentingan mendapat lebih besar bahagian tanah. Tagahas telah juga membina rumah panjang di Tibabar dan Mogong yang dapat menampung sepuluh keluarga demi mempertahankan diri.[1]

Keagamaan

[sunting | sunting sumber]

Suku Tagahas, seperti semua kaum KadazanDusun pada zaman dahulu adalah pagan atau menganut agama animisme[3]. Keagamaan yang mereka anuti, yang mempunyai sebutan khas Momolianisme, mempengaruhi sebahagian besar cara hidup dan kegiatan mereka seharian. Agama mereka berkisar pada putaran musim yang memusatkan pada kegiatan penanaman padi. Selain dari itu adat perkahwinan suku Tagahas agak berbeza sedikit dengan suku-suku lain. sebagai contoh orang lelaki tidak akan dapat berkahwin jika mereka tidak berupaya memburu kepala manusia.[1] besar kemungkinan inilah yang menyumbang terhadap sifat aggresif suku Tagahas. Suku kaum KadazanDusun yang lain tidak memiliki adat perkahwinan seperti ini tetapi hanya menutut apa yang disebu "berian" (hadiah dalam bentuk kerbau yang diberi kepada Ibu dan Bapa mertua) dan "kerobukan hambin" (hadiah khas yang diberi kepada ibu gadis yang dikahwini, sebagai penghargaan lampin dan sarung yang "rusak" semasa melahir dan mengasuh anak tersebut).

Selain daripada memburu, kegiatan utama orang Tagahas pada suatu ketika ialah aruk dan pemburuan kepala selain merompak haiwan seperti kerbau peliharaan puak lain[4]. Sebelum mereka beria-ia memburu kepala, suku kaum Tagahas akan mengadakan aruk yang berpanjangan, diiringi oleh gong dan gendang yang diperbuat dari kulit kerbau. Pemburuan kepala terjadi kerana perebutan kawasan tanah pada zaman pra kewujudan sebarang pentadbiran dan undang-undang bertulis selain memasyurkan kepahlawanan diri mereka. Orang Tagahas akan menyerang setiap kampung, membakar rumah, dan membunuh para pembela, serta merampas[5]semua haiwan peliharaan. Selepas satu malam menjarah dan memburu kepala, mereka akan merayakan kemenangan mereka dengan minum arak yang diperbuat daripada beras tertapai serta makan daging yang diburu seperti khinzir hutan, kijang dan payau.

Kegiatan Perang

[sunting | sunting sumber]
    • Kekalahan Pertama

Suku kaum Sakag Gombunan-Tamadon yang selalu kalah pada awalnya kemudian menjembut suku kaum Bundu dan Suku kaum Liwan serta membuat pakatan untuk menumpaskan kegiatan suku kaum Tagahas. Suku kaum Liwan yang diketuai oleh Aki Bungkar bin Gubou datang bersama dengan sudara-saudaranya dari Pahu dan setelah berkahwin dengan seorang gadis Tuhawon di Sunsuron, ia menetap di Borotutuan. Suku kaum Bundu dari Libodon dengan dipimpin oleh Aki Lampayung bin Butog datang dari Libodon untuk membantu suku Kaum Tuhawon kerana istrinya adalah dari suku kaum Tuhawon. Setelah membuat pakatan ini mereka meminta Aki Bungkar untuk menjadi pemimpin perang mereka. Suku kaum Bundu dan suku kaum Liwan membuat penempatan besar di Kampung Sunsuron sebagai menutup perjalanan keluar-masuk suku kaum Tagahas manakala Sakag Gambunan dan Sakag Tamadon menetap di seberang Sungai Kapagalan untuk menhalang suku kaum Tagahas melarikan ke hilir sungai. Pagalan .[1]

Persepakatan Tuhawon-Bundu-Liwan akhirnya mengalahkan Suku kaum Tagahas dan pemimpin mereka Sambatang terbunuh di kubunya di Tibabar. Kepalanya di gantung dalam "Guritom" di Sunsuron untuk beberapa tahun sebagai amaran kepada semua Tagahas. Ini terjadi pada tahun 1883, iaitu 15 tahun sebelum kemasukan Mat Salleh. Ini merupkan kekalahan pertama suku Tagahas.

    • Kekalahan Kedua

Pada tahun 1889, perang saudara antara suku Tagahas melawan pakatan Tuhawon-Bundu-Liwan tercetus semula apabila Mat Salleh, seorang pahlawan keturunan kerabat diraja sultan Sulu masuk ke daerah Tambunan dengan hampir seribu pemberontak untuk cuba menguasai daerah Tambunan. Pengikut-pengikut Mat Salleh termasuk pemimpin-pemimpin berketurunan suku Tagahas dari Manggatal dan Inanam. Antara mereka yang menyertai Mat Salleh ke Tambunan adalah seorang yang bernama Tunggal. Ramai keturunannya kini tinggal di Kampung Keliangau, termasuk dilantik menjadi ketua kampung, dan pernah diserap masuk ke pasukan Polis semasa penjajahan British. Suku kaum Tagahas yang tinggal di Kampung Pulutan,Manggatal adalah keturunan dari rombongan suku Tagahas yang berhijrah menelusuri pesisir sungai Liwagu Kawanan, lebih kurang 4 hingga 5 generasi yang lampau.

Suku kaum Tagahas di Tambunan dengan mudah dipengaruhi untuk menyertai Mat Salleh kerana kehadiran saudara mereka suku Tagahas dari Manggatal dan Inanam. Ini terjadi selepas perjanjian damai antara pihak Mat Salleh dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara, yang disebut Perjanjian Damai Palatan. Tindakan Mat Salleh dan orang-orang Tagahas mungkin lebih kepada persaingan untuk mengutip cukai dan tidak dapat disamakan dengan pemberontakan terhadap penjajahan kerana pada ketika itu belum wujud sebuah negara baru atau koloni British. Apa yang ada ialah kegiatan perdagangan sebuah entiti yang disebut Syarikat Berpiagam Borneo Utara[6].

Mat Salleh menghasut suku kaum Tagahas menyerang suku kaum pakatan Tuhawon-Budu-Liwan dengan janji akan memberi kuasa dan pemungutan wang pengunaan jalan yang dibina oleh pakatan Tuhawon-Bundu-Liwan iaitu Salt Trail menghubungi Sunsuron-Darawid/Ulu Tuaran-Moyog. Walaubagaimanapun usaha Mat Salleh dan suku Tagahas untuk menguasai daerah Tambunan gagal apabila beberapa pemimpin dari suku Tuhawon, suku Bundu, suku Liwan membentuk suatu persepakatan baru yang disebut "Kososoluon" yang berteraskan prinsip berkecuali dan pencinta keamanan. Dalam pakatan Kososoluoan ini terdapat juga beberapa orang suku Tagahas dari kampung Pantai. Suatu rombongan Kososoluon yang dipimpin oleh Aki Sampuun telah pergi ke daerah Keningau dan menghubungi Aki Gunsanad bin Kina, seorang pemimpin suku Kaum Kwijau. Suku kaum Kwijau adalah suatu suku KadazanDusun yang tinggal di daerah Keningau. Aki Sampuun dan Aki Gunsanad kemudian menghubungi pihak syarikat Berpiagam Borneo Utara yang pada ketika itu berada di Brunei. Pihak syarikat menghantar sepasukan polis, yang terdiri dari orang British dan orang Sikh[7]. Beberapa pahlawan kaum Dayak Iban, yang memang gemar untuk pemburuan kepala turut menyertai dalam tindakan kepolisian terhadap Mat Salleh dan pemberontak Tagahas. Bermula 27hb Januari 1900 kubu Mat Salleh diserang dan selepas tiga hari serangan, Mat Salleh dan hampir semua pengikutnya pun terbunuh.

Bagi suku kaum Tagahas kekalahan mereka pada perang yang kedua kali dibawah pimpinan Mat Salleh telah memberi kesedaran kepada mereka bahawa cara yang lama, iaitu pemburuan kepala untuk menyelesaikan masalah tidak membawa sebarang manfaat.

Zaman Keamanan

[sunting | sunting sumber]

Sebaik-baik pihak British masuk untuk mentadbir daerah Tambunan maka mereka pun menyediakan suatu medan persaingan yang sihat iaitu melalui pembangunan pendidikan sekolah dan juga melalui pendaftaran tanah bergeran untuk pembangunan pertanian.

Pada hari ini, orang Tagahas merupakan suatu suku kaum yang cinta damai di mana-mana pun mereka berada termasuk di Tambunan. Tanpa mengira puak, kaum Kadazan-Dusun kini hidup dengan damai sebagai satu masyarakat di Tambunan dan merayakan berbagai-bagai pesta bersama-sama. Perasaan berbezaan suku sudah lenyap dan semua suku kini terassimilasi ke dalam kaum Kadazan-Dusun, serta menjadi warga dalam negara Malaysia.

  1. ^ a b c d e f Etawau.com: Tagahas
  2. ^ Phelan, Peter R. (1997). Traditional Stone and Wood Munuments of Sabah. Pusat Kajian Borneo. Yayasan Sabah. m.s.13-21
  3. ^ I.H.N. Evans (1953) The Religion Of The Tempasuk Dusun of Borneo. Cambridge University Press
  4. ^ Low Kok On (2006). Reading Symbols and Mythical Landscape In The Tambunan "Dusun Origin Myth" of North Borneo.Universiti Malaysia Sabah. m.s.30
  5. ^ Williams, Thomas Rys. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS)XXXIII (May;95-103. 1965)
  6. ^ Tarling, N. (1985). Mat Salleh And Krani Usman.Journal of Southeast Asian Studies, 16(1), 46-48. doi:10.1017/S0022463400012765
  7. ^ Gill, Sarjit S. (2007). Sejarah Penglibatan Orang Sikh Dalam Pasukan Bersenjata Borneo Utara, 1882-1949 Dan Kesan Terhadap Identiti. Jebat 34:m.s.49-70