Pergi ke kandungan

Laika Siberia Timur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Laika Siberia Timur
Laika Siberia Timur, muda
Negara asalRusia
Anjing (Canis lupus familiaris)

Laika Siberia Timur[a] ialah satu baka laika Rusia daripada jenis spits yang merupakan anjing pemburu yang berasal dari bahagian Siberia yang di timur Sungai Yenisei.

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Jantan berdiri setinggi 55–66 sentimeter (22–26 in) sementara betinanya lebih kecil setinggi 51–60 sentimeter (20–24 in). Ia hitam dan sawo matang dengan tompok cerah (dipanggil karamis), kelabu gelap, bertompok, berbintik juga, putih, kelabu, hitam, merah, dan perang daripada semua cahaya warna. Terdapat dua jenis utama, iaitu Evenki dan Irkutsk; jenis kurang penting lain merupakan Yakutia, Amur, Tofolar. Jenis-jenis ini berbeza dari segi warna dan susuk tubuh, kerana laika Siberia Timur masih seakan-akan baka gabungan pelbagai berbanding laika Rusia lain yang beriktiraf.[1] Secara fizikal, laika Siberia Timur agak renceng, hampir berperkadaran segi empat sama, sedikit lebih tinggi di kelasa berbanding di krup, bertulang tegap; rupa bentuk kepala berbeza-beza mengikut keragaman rantauan. Telinganya tegak dan berbentuk segi tiga, ekornya terangkat dalam lengkungan ke arah belakang. Lapis bulunya ialah lapis bulu ganda sederhana panjang dengan rerambut pengawal kasar dan lurus dan lapis bulu bawah tebal dan lembut.[2]

Seekor laika Siberia Timur

Laika Siberia Timur ialah anjing pemburu semula jadi untuk pelbagai buruan besar dan kecil, daripada tupai, marten, sabel, dan grouse hinggalah elk, beruang, babi hutan, dan singa gunung. Ia juga dapat digunakan sebagai anjing tarikan.[1]

Laika Siberia Timur ramah terhadap manusia dan mempunyai keghairahan jelas untuk perburuan, serta perwatakan kuat dan seimbang. Untuk baka ini, niat jahat terhadap manusia adalah tidak tipikal. Walau bagaimanapun, di tempat-tempat asal usul pembiakbakaannya, ia kerap digunakan sebagai pengawal. Ia sangat tersesuai terhadap kerja berat dalam keadaan mencabar di kawasan taiga bergunung-ganang Siberia.[2]

Setem USSR yang menonjolkan laika Siberia Timur

Sebelum tahun 1940-an, terdapat beberapa jenis laika asli yang ditemukan di serata Siberia timur yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk penarikan kereta luncur salji, perburuan, dan penggembalaan rusa kutub.[1] Semasa era Soviet, terdapat dorongan untuk mengelaskan anjing menurut kekhususannya serta menggabungkan anjing serupa tempatan menurut zon geografi besar. Maka, ramai pakar mula bertumpu secara eksklusif terhadap laika sebagai pemburu penuding dan mengecualikan laika gembala dan laika tarikan sama sekali. Walau bagaimanapun, hal ini terbukti bermasalah kerana sifat primitif laika menyebabkan kurang pengkhususan berbanding dengan yang terlihat pada baka lain dan saiz besar rantau ini menyukarkan penghasilan anjing seragam di dalam zon masing-masing.[3] Pengenalpastian baka diasaskan pada Kongres Kinologi Sekesatuan pada tahun 1947, dengan menggunakan anjing dari rantau Tasik Baikal, Oblast Irkutsk, Okrug Berautonomi Evenk, serta lembangan Sungai Amur dan rantau-rantau pinggir laut.[1] Pada tahun 1949, piawaian untuk laika Siberia Timur diluluskan. Walau bagaimanapun, pembiakbakaan sistematik tidak bermula sehingga tahun 1970-an di kenel-kenel pemerintah di Irkutsk dan di Leningrad.[1] Menurut sebuah kajian ahli genetik tahun 2011, laika Siberia Timur dan basenji yang tidak menyalak dari Congo dan Sudan tergolong dalam kelompok haplo kromosom Y HG69.[4]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: لايکا سيبيريا تيمور; Rusia: восто́чносиби́рская ла́йка, rumi: vostóčnosibírskaja lájka; bahasa Inggeris: East Siberian laika
  1. ^ a b c d e Beregovoy, Vladimir (27 Mac 2008). "Welcome to the Hunting Laika Breeds of Russia" [Selamat Datang ke Baka Laika Pemburu Rusia] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mac 2008. Dicapai pada 4 Januari 2024.
  2. ^ a b "FCI-Standard N° 305 (VOSTOTCHNO-SIBIRSKAÏA LAÏKA) (East-Siberian Laika)" [Piawaian FCI No. 305 Laika Siberia Timur] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Samsonova, Anna. Disunting oleh Eugene Yerusalimsky. Disemak oleh Jennifer Mulholland dan Renée Sporre-Willes. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 2 Mac 2011. Dicapai pada 4 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  3. ^ Shiroky, B. I. (2004). "Our Northern Dogs" [Anjing Utara Kita] (PDF). Primitive and Aboriginal Dog Society Newsletter (dalam bahasa Inggeris). Primitive and Aboriginal Dog Society. 8: 5–11.
  4. ^ Ding, Zhao-Li; Oskarsson, Mattias C. R.; Ardalan, Arman; Angleby, Helen; Dahlgren, L. G.; Tepeli, Cafer; Kirkness, Ewen F.; Savolainen, Carl Peter Olavi; Zhang, Yaping (23 November 2011). "Origins of domestic dog in Southern East Asia is supported by analysis of Y-chromosome DNA" [Asal usul anjing bela jinak di Asia Timur Selatan disokong oleh analisis DNA kromosom Y]. Heredity (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 108 (5): 507–514. doi:10.1038/hdy.2011.114. ISSN 1365-2540. PMC 3330686. PMID 22108628. S2CID 2233769.

Sumber tambahan

[sunting | sunting sumber]
  • Dmitrieva-Sulima, Maria Georgievna (2003). Лайка и охота с ней [Laika dan Perburuan Dengannya] (dalam bahasa Rusia) (ed. 2003). Sankt-Peterburg, Rusia: Akvarium. ISBN 9785948381251.
  • Voylochnikov, Anatoliy Tikhonovich; Voylochnikova, Svetlana Dmitriyevna (1974). Лайки и охота с ними [Laika dan Perburuan Dengannya] (dalam bahasa Rusia). Moscow, Rusia: Лесная промышленность.
  • Voylochnikov, Anatoliy Tikhonovich; Voylochnikova, Svetlana Dmitriyevna (1982). Охотничьи лайки [Laika Pemburu] (dalam bahasa Rusia). Moscow, Rusia: Лесная промышленность. OCLC 85039703.