Pergi ke kandungan

Justin Frankel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Justin Frankel merupakan pengaturcara komputer yang telah menghasilkan applikasi pemain media Winamp, dan turut mencipta sistem rakan-ke-rakan Gnutella.

Frankel dilahirkan pada tahun 1979 dan membesar dalam rumah mudah-alih di Sedona, Arizona. Bapanya, Charles, seorang peguam, dan ibunya pula adalah kakitangan pos. Justin Frankel mempunyai kecenderungan terhadap komputer sejak kecil lagi. Kepakarannya mendorong Justin Frankel mentadbir jaringan komputer sekolah menengah yang dihadirinya, termasuk juga menulis aplikasi email sekolah. Justin Frankel juga pernah menulis program perakam kekunci yang merakamkan aktiviti papan kunci guru-guru di sekolahnya.

Selepas tamat sekolah menengah dengan 4.0 GPA, Justin Frankel menghadiri Universiti Utah pada tahun 1996, di mana dia mendalami Sains Komputer, tetapi Justin Frankel kemudiannya berhenti selepas dua semester dan menubuhkan sebuah syarikat perisian Nullsoft. Beberapa bulan kemudian Justin Frankel membebaskan versi pertama Winamp di bawah syarikat barunya Nullsoft. Pada 1998, lebih daripada lima belas juta orang telahpun memindah terima program Winamp. Disebabkan ramai orang telah menghantar bayaran $10 shareware yang diminta sebagai balasan untuk terus menggunakan perisian tersebut, Frankel dapat puluhan ribu dollar Amerika sebulan.

Frankel kemudiannya menyiapkan Shoutcast, yang membenarkan pengguna biasa dengan pautan Internet untuk memancarkan, atau "mengalir", bunyi melalui Internet. Dia juga mencipta Advanced Visualization Studio, tambahan kepada Winamp yang membolehkan pengguna mencipta gambaran muzik mereka sendiri secara real-time, tanpa pengetahuan memprogram diperlukan.

Frankel menjual syarikat Nullsoft kepada AOL pada (1999), dengan harga 100 juta dollar Amerika. Pada 14 March 2000, Frankel dan rakan Nullsoft Tom Pepper melancarkan Gnutella menggunakan pelayan koperat Nullsoft tanpa diketahui AOL. Gnutella adalah sistem perkongsian fail baru rakan ke rakan seperti sistem Napster asal, yang digunakan oleh pengguna untuk berkongsi kumpulan MP3 dengan sesiapa yang mempunyai pelanggan Napster. Tidak seperti Napster, bagaimanapun, Gnutella membenarkan pengguna untuk berkongsi sebarang jenis fail, bukan hanya MP3, kepada sesiapa yang mempunyai pelanggan Gnutella. Gnutella juga tidak mempunyai titik kegagalan tunggal yang dipunyai Napster: pelayan pusat yang mengindeks di mana kesemua kandungan perkongsian disimpan. Walaupun Napster boleh (dan telah) ditutup hanya dengan menutup pelayan indeks pusat yang dimiliki Napster, Gnutella tidak bergantung kepada sebarang pelayan pusat untuk mengetahui apa kandungan dipunyai pengguna, jadi sekali jaringan Gnutella dicipta, ia tidak boleh ditutup.

Kerana AOL pada masa itu sedang dalam proses penggabungan dengan Time Warner, Gnutella kelihatannya seperti bercanggah kepentingan syarikat ibu Nullsoft, yang mengetahui Time Warner merupakan salah satu pihak yang sedang menggambil tindakan undang-undang ke atas Napster pada masa itu. AOL mengarahkan Gnutella dikeluarkan daripada pelayan koperat Nullsoft. Bagaimanapun, kerana beribu-ribu orang telahpun memindah turun perisian tersebut sebelum ia dipindahkan dari tapak laman Nullsoft, dan kod sumber juga dibebaskan dibawah GPL, Gnutella terus dimajukan tanpa bantuan Frankel, dan menjadi salah satu jaringan rakan ke rakan perkongsian fail paling popular pada masanya; Antara perisian klien Gnutella yang dimajukan adalah BearShare, Morpheus, Gnucleus dan LimeWire.

Frankel diperhatikan oleh AOL selepas itu, dan bertindak membatalkan projek-projek lain yang dicubabebaskan kepada umum seperti enjin pencari MP3 dan aplikasi tampalan untuk AOL Instant Messenger untuk menghalang iklan dalam applikasi itu. Frankel mengancam untuk berhenti pada (2 June 2003) selepas AOL memindahkan perisiannya Waste, perisian perkongsian fail rakan ke rakan dilindungi kata laluan persendirian., daripada laman web Nullsoft. Frankel kekal dengan AOL selepas itu agar dapat menyempurnakan versi 5.0 Winamp, walaupun pada 9 Disember 2003 AOL menutup pejabat Nullsoft di San Francisco dan membuang 450 pekerja termasuk saudara tiri lelaki Frankel. Frankel mengumumkan dia berhenti dari AOL pada 22 Januari 2004 di weblognya, menyatakan "Won't repeat it here (in two words: I've resigned). So begins chapter 3... or something cliche/poetic there. Or wait, does I've count as a single word? ha ha."

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]