Bahasa Melayu
Choose your preferred language
Dasar Privasi Apple
Dikemas kini 18 September 2024
Dasar Privasi Apple menerangkan cara Apple mengumpul, mengguna dan berkongsi data peribadi anda.
Sebagai tambahan kepada Dasar Privasi ini, kami menyediakan data dan maklumat privasi yang terkandung dalam produk kami dan ciri tertentu yang meminta untuk menggunakan maklumat peribadi anda. Maklumat khusus produk ini disertakan dengan Ikon Data & Privasi kami.
Anda akan diberikan peluang untuk menyemak maklumat khusus produk ini sebelum menggunakan ciri ini. Anda juga boleh melihat maklumat ini pada bila-bila masa, sama ada dalam tetapan yang berkaitan dengan ciri tersebut dan/atau dalam talian diapple.com/legal/privacy/data.
Sila luangkan sedikit masa untuk membiasakan diri anda dengan amalan privasi kami, yang boleh diakses melalui tajuk di bawah, dan hubungi kami jika anda mempunyai soalan.
Muat turun salinan Dasar Privasi ini
Dasar Privasi Aplikasi Kajian Kesihatan Apple
-
Apakah itu Data Peribadi di Apple?
Di Apple, kami amat mengutamakan hak privasi asasi — dan hak asasi tersebut tidak boleh berbeza-beza mengikut tempat anda tinggal di dunia. Itulah sebabnya kami mengendalikan setiap data yang berkaitan dengan individu yang dikenal pasti atau boleh dikenal pasti atau yang dikaitkan atau boleh dikaitkan dengan mereka oleh Apple sebagai "data peribadi", tidak kira lokasi tempat tinggal individu itu. Hal ini bermakna bahawa data yang mengenal pasti anda secara langsung — seperti nama anda — ialah data peribadi, dan juga data yang tidak mengenal pasti anda secara langsung, tetapi boleh digunakan untuk mengenal pasti anda — seperti nombor siri peranti anda — ialah data peribadi. Data teragregat dianggap sebagai data bukan peribadi untuk tujuan Dasar Privasi ini.
Dasar Privasi ini merangkumi cara Apple atau syarikat bersekutu Apple (secara kolektif, “Apple”) mengendalikan data peribadi sama ada anda berinteraksi dengan kami di laman web kami, melalui aplikasi Apple (seperti Apple Music atau Dompet), atau secara bersemuka (termasuk melalui telefon atau ketika mengunjungi Apple Store). Apple juga mungkin memaut kepada pihak ketiga dalam perkhidmatan kami atau menyediakan aplikasi pihak ketiga untuk dimuat turun di App Store kami. Dasar Privasi Apple tidak berkenaan dengan cara pihak ketiga mentakrifkan data peribadi atau cara mereka menggunakannya. Kami menggalakkan anda untuk membaca dasar privasi mereka dan mengetahui hak privasi anda sebelum berinteraksi dengan mereka.
-
Hak Privasi Anda di Apple
Di Apple, kami menghormati keupayaan anda untuk mengetahui, mengakses, membetulkan, memindahkan, menyekat pemprosesan dan memadamkan data peribadi anda. Kami telah memberikan hak ini kepada pangkalan pelanggan global kami dan jika anda memilih untuk melaksanakan hak privasi ini, anda berhak untuk tidak dilayan dengan cara yang mendiskriminasi atau menerima tahap perkhidmatan yang kurang daripada Apple. Jika anda diminta untuk memberikan kebenaran terhadap pemprosesan data peribadi anda oleh Apple, anda mempunyai hak untuk menarik balik kebenaran anda pada bila-bila masa.
Untuk melaksanakan hak dan pilihan privasi anda termasuk ketika penyedia perkhidmatan pihak ketiga bertindak bagi pihak Apple, lawati halaman Data dan Privasi Apple di privacy.apple.com untuk Apple atau shazam.com/privacy untuk Shazam. Untuk membantu melindungi keselamatan data peribadi anda, anda mesti mendaftar masuk ke akaun anda dan identiti anda akan disahkan. Jika anda ingin mendapatkan salinan data peribadi yang tidak tersedia pada masa ini daripada privacy.apple.com, anda boleh membuat permintaan di apple.com/my/privacy/contact. Anda juga berhak membuat aduan dengan pengawal selia yang berkenaan.
Terdapat situasi yang kami mungkin tidak dapat memenuhi permintaan anda — contohnya, jika anda meminta kami memadamkan data transaksi anda dan Apple diwajibkan mengikut undang-undang untuk menyimpan rekod transaksi tersebut untuk mematuhi undang-undang. Kami juga mungkin menolak untuk memenuhi permintaan jika berbuat demikian boleh menjejas penggunaan data kami yang sah untuk tujuan antipenipuan dan keselamatan, seperti apabila anda meminta pemadaman akaun yang sedang disiasat untuk isu keselamatan. Sebab lain permintaan privasi anda boleh ditolak adalah jika permintaan tersebut menjejaskan privasi orang lain, permintaan tersebut remeh atau menyusahkan, atau amat tidak praktikal atau tidak munasabah.
Jika anda tinggal di California dan anda tidak dapat mengakses halaman Data dan Privasi Apple, anda atau ejen sah anda boleh membuat permintaan di apple.com/my/privacy/contact atau dengan menghubungi 1-800-275-2273.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara melaksanakan hak anda, lawati support.apple.com/102283.
-
Data Peribadi yang Dikumpulkan oleh Apple daripada Anda
Di Apple, kami percaya bahawa anda boleh memiliki produk hebat dan privasi yang hebat. Hal ini bermakna bahawa kami berusaha untuk hanya mengumpulkan data peribadi yang kami perlukan. Data peribadi yang dikumpulkan oleh Apple bergantung pada cara anda berinteraksi dengan Apple. Perihalan cara Apple mengendalikan data peribadi untuk perkhidmatan individu tertentu tersedia di apple.com/legal/privacy/data/ms.
Apabila anda mencipta Akaun Apple, memohon kredit komersial, membeli dan/atau mengaktifkan produk atau peranti, memuat turun kemas kini perisian, mendaftar untuk kelas di Apple Store, bersambung kepada perkhidmatan kami, menghubungi kami (termasuk melalui media sosial), mengambil bahagian dalam tinjauan dalam talian atau dengan cara lain berinteraksi dengan Apple, kami boleh mengumpulkan pelbagai maklumat, termasuk:
Maklumat Akaun. Akaun Apple anda dan butiran akaun yang berkaitan, termasuk alamat e-mel, peranti yang didaftarkan, status akaun dan umur
Maklumat Peranti. Data yang boleh mengenal pasti peranti anda, seperti nombor siri peranti atau tentang peranti anda, seperti jenis pelayar
Maklumat Hubungan. Data seperti nama, alamat e-mel, alamat fizikal, nombor telefon atau maklumat hubungan lain
Maklumat Pembayaran. Data tentang alamat pengebilan dan kaedah pembayaran anda, seperti butiran bank, kredit, debit atau maklumat kad pembayaran lain
Maklumat Transaksi. Data tentang pembelian produk dan perkhidmatan Apple atau transaksi yang dikendalikan oleh Apple, termasuk pembelian di platform Apple
Maklumat Pencegahan Penipuan. Data yang digunakan untuk membantu dalam mengenal pasti dan mencegah penipuan, termasuk skor kepercayaan peranti
Data Penggunaan. Data tentang aktiviti anda dan penggunaan tawaran kami, seperti pelancaran aplikasi dalam perkhidmatan kami, termasuk sejarah pelayaran; sejarah carian; interaksi produk; data nahas, prestasi dan data diagnostik lain; dan data penggunaan lain
Maklumat Lokasi. Lokasi tepat hanya untuk menyokong perkhidmatan seperti Cari atau apabila anda bersetuju menggunakan perkhidmatan khusus rantau, serta lokasi kasar
Maklumat Kesihatan. Data yang berkaitan dengan status kesihatan individu, termasuk data yang berkaitan dengan kesihatan atau keadaan fizikal atau mental seseorang. Data kesihatan peribadi juga merangkumi data yang dapat digunakan untuk membuat kesimpulan tentang atau mengesan status kesihatan individu. Jika anda mengambil bahagian dalam kajian menggunakan aplikasi Kajian Penyelidikan Kesihatan Apple, dasar yang mengawal privasi data peribadi anda diterangkan dalam Dasar Privasi Aplikasi Kajian Kesihatan Apple.
Maklumat Kecergasan. Butiran yang berkaitan dengan maklumat kecergasan dan senaman yang anda pilih untuk dikongsi
Maklumat Kewangan. Butiran termasuk maklumat gaji, pendapatan dan aset yang dikumpulkan serta maklumat yang berkaitan dengan tawaran kewangan berjenama Apple
Data ID Kerajaan. Dalam sesetengah bidang kuasa, kami boleh meminta ID yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam situasi terhad, termasuk semasa menyediakan akaun wayarles dan mengaktifkan peranti anda, untuk tujuan melanjutkan kredit komersial, mengurus tempahan atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang
Maklumat Lain yang Anda Berikan kepada Kami. Butiran seperti kandungan komunikasi anda dengan Apple, termasuk interaksi dengan sokongan pelanggan dan hubungan melalui saluran media sosial
Anda tidak perlu memberikan data peribadi yang telah kami minta. Walau bagaimanapun, jika anda memilih untuk tidak memberikan maklumat tersebut, biasanya kami tidak akan dapat menyediakan produk atau perkhidmatan kami kepada anda atau membalas apa-apa permintaan anda.
-
Data Peribadi yang Diterima oleh Apple daripada Sumber Lain
Apple mungkin menerima data peribadi tentang diri anda daripada individu lain, daripada perniagaan atau pihak ketiga yang bertindak atas arahan anda, daripada rakan kongsi kami yang bekerjasama dengan kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kami dan membantu kami dalam keselamatan dan pencegahan penipuan serta daripada sumber lain yang sah.
Para Individu. Apple mungkin mengumpulkan data tentang anda daripada individu lain — contohnya, jika individu tersebut telah menghantar produk atau kad hadiah kepada anda, menjemput anda untuk mengambil bahagian dalam perkhidmatan atau forum Apple atau berkongsi kandungan dengan anda.
Atas Arahan Anda. Anda boleh mengarahkan individu lain atau pihak ketiga untuk berkongsi data dengan Apple. Sebagai contoh, anda boleh mengarahkan pembawa mudah alih anda untuk berkongsi data tentang akaun pembawa anda dengan Apple untuk pengaktifan akaun atau program kesetiaan anda untuk berkongsi maklumat tentang penyertaan anda supaya anda dapat memperoleh ganjaran untuk pembelian Apple.
Rakan Kongsi Apple. Kami juga mungkin mengesahkan maklumat yang anda berikan — contohnya, semasa mencipta Akaun Apple dengan pihak ketiga untuk tujuan keselamatan dan untuk pencegahan penipuan.
Kami mungkin menggunakan set data yang mengandungi imej, suara atau data lain yang boleh dikaitkan dengan orang yang boleh dikenal pasti untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan. Apabila memperoleh set data sedemikian, kami berbuat demikian mengikut undang-undang yang berkenaan, termasuk undang-undang dalam bidang kuasa tempat set data itu dihoskan. Apabila menggunakan set data sedemikian untuk penyelidikan dan pembangunan, kami tidak cuba untuk mengenal pasti semula individu yang mungkin muncul di dalamnya.
-
Penggunaan Data Peribadi oleh Apple
Apple menggunakan data peribadi untuk menguasakan perkhidmatan kami, untuk memproses transaksi anda, untuk berkomunikasi dengan anda, untuk keselamatan dan pencegahan penipuan serta untuk mematuhi undang-undang. Kami juga mungkin menggunakan data peribadi untuk tujuan lain dengan persetujuan anda.
Apple menggunakan data peribadi anda hanya apabila kami mempunyai asas undang-undang yang sah untuk melakukannya. Bergantung pada keadaan, Apple mungkin bergantung pada persetujuan anda atau hakikat bahawa pemprosesan tersebut diperlukan untuk memenuhi kontrak dengan anda, melindungi kepentingan vital anda atau kepentingan orang lain, atau untuk mematuhi undang-undang. Kami juga mungkin memproses data peribadi anda apabila kami percaya itu ialah kepentingan sah kami atau orang lain, dengan mempertimbangkan kepentingan, hak dan jangkaan anda. Maklumat lanjut tersedia dalam maklumat khusus produk yang terkandung dalam produk dan ciri kami seperti yang diterangkan di atas. Jika anda mempunyai pertanyaan tentang asas undang-undang, anda boleh menghubungi Pegawai Perlindungan Data di apple.com/my/privacy/contact.
Menguasakan Perkhidmatan Kami. Apple mengumpulkan data peribadi yang diperlukan untuk menguasakan perkhidmatan kami, yang mungkin termasuk data peribadi yang dikumpulkan untuk menambah baik tawaran kami, untuk tujuan dalaman seperti pengauditan atau analisis data, atau untuk menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, jika anda ingin mengakses lagu melalui langganan Apple Music, kami mengumpulkan data tentang lagu yang anda mainkan untuk memberi anda kandungan yang diminta dan untuk tujuan royalti.
Memproses Transaksi Anda. Untuk memproses transaksi, Apple mesti mengumpulkan data seperti nama, pembelian dan maklumat pembayaran anda.
Berkomunikasi dengan Anda. Untuk bertindak balas terhadap komunikasi, menghubungi anda tentang transaksi atau akaun anda, memasarkan produk dan perkhidmatan kami, memberikan maklumat lain yang relevan, atau meminta maklumat atau maklum balas. Kami mungkin menggunakan data peribadi anda dari semasa ke semasa untuk menghantar notis penting seperti komunikasi tentang pembelian dan perubahan pada terma, syarat dan dasar kami. Oleh sebab maklumat ini penting untuk interaksi anda dengan Apple, anda tidak boleh menolak penerimaan notis penting ini.
Keselamatan dan Pencegahan Penipuan. Untuk melindungi individu, pekerja dan Apple serta untuk pencegahan kerugian dan untuk mencegah penipuan, termasuk untuk melindungi individu, pekerja dan Apple untuk kepentingan semua pengguna kami, dan menyaring atau mengimbas kandungan yang dimuat naik untuk kandungan yang berpotensi menyalahi undang-undang, termasuk bahan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Data Peribadi yang Digunakan untuk Penyesuaian Peribadi. Jika anda memilih untuk menjadikan perkhidmatan atau komunikasi anda lebih bersifat peribadi di mana-mana pilihan itu tersedia, Apple akan menggunakan maklumat yang kami kumpul supaya kami boleh menawarkan perkhidmatan atau komunikasi bersifat peribadi sedemikian kepada anda. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara perkhidmatan relevan menggunakan maklumat untuk menjadikan pengalaman anda lebih bersifat peribadi dengan menyemak maklumat privasi yang ditunjukkan ketika anda mula-mula menggunakan perkhidmatan yang meminta untuk menggunakan data peribadi anda. Kami memudahkan pencarian maklumat ini dengan mempersembahkannya bersama-sama ikon Data & Privasi kami; maklumat ini juga tersedia pada bila-bila masa pada peranti Apple anda dan dalam talian di apple.com/legal/privacy/data/ms.
Mematuhi Undang-undang. Untuk mematuhi undang-undang yang berkaitan—contohnya, untuk memenuhi kewajipan cukai atau pelaporan, atau untuk memenuhi permintaan kerajaan yang sah.
Apple tidak menggunakan algoritma atau pemprofilan untuk membuat apa-apa keputusan yang akan menjejaskan anda secara ketara tanpa peluang untuk semakan oleh manusia. Apple juga tidak menggunakan atau mendedahkan data peribadi sensitif untuk apa-apa tujuan yang memerlukan pengguna melaksanakan hak untuk mengehadkan pemprosesan menurut undang-undang California.
Apple menyimpan data peribadi hanya selama yang diperlukan untuk memenuhi tujuan pengumpulannya, termasuk seperti yang diterangkan dalam Dasar Privasi ini atau dalam notis privasi khusus perkhidmatan kami atau sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Kami akan mengekalkan data peribadi anda untuk tempoh yang diperlukan bagi memenuhi tujuan yang dinyatakan dalam Dasar Privasi ini dan notis privasi khusus perkhidmatan kami. Semasa menilai tempoh pengekalan, pertama sekali kami menyemak dengan teliti keperluan untuk mengekalkan data peribadi yang dikumpulkan dan, jika pengekalan diperlukan, berusaha untuk mengekalkan data peribadi untuk jangka waktu sesingkat mungkin yang dibenarkan di bawah undang-undang.
-
Perkongsian Data Peribadi oleh Apple
Apple mungkin berkongsi data peribadi dengan syarikat bersekutu Apple, penyedia perkhidmatan yang bertindak bagi pihak kami, rakan kongsi kami, pembangun, dan penerbit, atau pihak lain atas arahan anda. Selanjutnya, Apple tidak berkongsi data peribadi dengan pihak ketiga untuk tujuan pemasaran mereka sendiri.
Pembekal Perkhidmatan. Apple mungkin melibatkan pihak ketiga untuk bertindak sebagai penyedia perkhidmatan kami dan melakukan tugas-tugas tertentu bagi pihak kami, seperti memproses atau menyimpan data, termasuk data peribadi, berkaitan dengan penggunaan perkhidmatan kami oleh anda dan penyerahan produk kepada pelanggan. Penyedia perkhidmatan Apple berkewajipan untuk mengendalikan data peribadi selaras dengan Dasar Privasi ini dan mengikut arahan kami. Mereka tidak boleh menggunakan data peribadi yang kami kongsi untuk tujuan mereka sendiri dan mesti memadamkan atau mengembalikan data peribadi setelah mereka memenuhi permintaan kami.
Rakan Kongsi. Pada masa tertentu, Apple mungkin bekerjasama dengan pihak ketiga untuk memberikan perkhidmatan atau tawaran lain. Sebagai contoh, tawaran kewangan Apple seperti Apple Card dan Apple Cash ditawarkan oleh Apple dan rakan kongsi kami. Apple menghendaki rakan kongsi untuk melindungi data peribadi anda.
Pembangun dan Penerbit yang Menyediakan Langganan kepada Anda. Jika anda membeli langganan pihak ketiga daripada App Store atau dalam Apple News, kami mencipta ID Pelanggan yang unik untuk anda dan pembangun atau penerbit. ID Pelanggan boleh digunakan untuk memberikan laporan kepada pembangun atau penerbit yang merangkumi maklumat tentang langganan yang anda beli dan negara tempat tinggal anda. Jika anda membatalkan semua langganan anda daripada pembangun atau penerbit tertentu, ID Pelanggan akan ditetapkan semula selepas 180 hari sekiranya anda tidak melanggan semula. Maklumat ini diberikan kepada pembangun atau penerbit supaya mereka boleh memahami prestasi langganan mereka.
Lain-lain. Apple mungkin berkongsi data peribadi dengan orang lain atas arahan anda atau dengan persetujuan anda, seperti semasa kami berkongsi maklumat dengan syarikat telekomunikasi anda untuk mengaktifkan akaun anda. Kami juga boleh mendedahkan maklumat tentang anda jika kami mendapati bahawa atas tujuan keselamatan negara, penguatkuasaan undang-undang atau isu kepentingan awam yang lain, pendedahan adalah perlu atau wajar dilakukan. Kami juga mungkin mendedahkan maklumat tentang anda jika terdapat asas undang-undang untuk berbuat sedemikian, jika kami mendapati bahawa pendedahan sewajarnya perlu untuk menguatkuasakan terma dan syarat kami atau untuk melindungi operasi atau pengguna kami, atau jika berlakunya penyusunan semula, penggabungan atau jualan.
Apple tidak menjual data peribadi anda termasuk seperti “penjualan” yang ditakrifkan di Nevada dan California. Apple juga tidak “berkongsi” data peribadi anda seperti takrifan istilah itu di California.
-
Perlindungan Data Peribadi di Apple
Di Apple, kami percaya bahawa privasi yang hebat bergantung pada keselamatan yang hebat. Kami menggunakan perlindungan pentadbiran, teknikal dan fizikal untuk melindungi data peribadi anda, dengan mempertimbangkan sifat data peribadi dan pemprosesan serta ancaman yang ditimbulkan. Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan perlindungan ini untuk membantu dalam memastikan data peribadi anda selamat. Untuk mendapatkan maklumat, lawati panduan Keselamatan Platform Apple kami.
-
Data Kanak-kanak dan Data Peribadi
Apple memahami kepentingan menjaga data peribadi kanak-kanak, yang kami anggap sebagai individu di bawah umur 13 tahun atau umur yang setara seperti yang ditentukan oleh undang-undang di bidang kuasa anda. Itu sebabnya Apple telah melaksanakan proses dan perlindungan tambahan untuk membantu dalam memastikan data peribadi kanak-kanak selamat.
Untuk mengakses perkhidmatan Apple tertentu, kanak-kanak mesti mempunyai Akaun Apple kanak-kanak. Akaun Apple kanak-kanak boleh dicipta oleh ibu bapa atau, dalam kes Akaun Apple Terurus, oleh institusi pendidikan kanak-kanak.
Ibu bapa. Untuk mencipta akaun kanak-kanak, ibu bapa mesti menyemak Privasi Keluarga untuk Kanak-kanak, yang menerangkan cara Apple mengendalikan data peribadi kanak-kanak. Jika mereka bersetuju, ibu bapa mesti memberi Apple persetujuan ibu bapa yang boleh disahkan.
Institusi Pendidikan.Institusi pendidikan yang mengambil bahagian dalam Program Apple School Manager juga dapat mencipta Akaun Apple untuk pelajar, yang dikenali sebagai "Akaun Apple Terurus." Sekolah-sekolah ini dikehendaki bersetuju dengan Pendedahan Akaun Apple Terurus untuk Pelajar yang disertakan sebagai Lampiran A dalam Perjanjian Apple School Manager.
Jika kami mendapati bahawa data peribadi kanak-kanak dikumpulkan tanpa kebenaran yang sewajarnya, data tersebut akan dipadamkan secepat mungkin.
Untuk melaksanakan hak privasi bagi maklumat anak anda, lawati halaman Data dan Privasi Apple di privacy.apple.com dan daftar masuk ke akaun mereka.
-
Kuki dan Teknologi Lain
Laman web, perkhidmatan dalam talian, aplikasi interaktif dan iklan Apple mungkin menggunakan "kuki" dan teknologi lain seperti bikon web. Teknologi ini membantu kami memahami kelakuan pengguna dengan lebih baik termasuk untuk tujuan keselamatan dan pencegahan penipuan, memberitahu kami bahagian laman web kami yang telah dilawati orang dan memudahkan serta mengukur keberkesanan iklan dan carian web.
Kuki Komunikasi. Kuki ini digunakan untuk membolehkan trafik rangkaian kepada dan daripada sistem Apple, termasuk dengan membantu kami mengesan apa-apa ralat.
Kuki yang Diperlukan Sahaja. Kuki ini ditetapkan seperti yang diperlukan untuk menyediakan ciri atau perkhidmatan tertentu yang telah anda akses atau minta. Sebagai contoh, kuki ini membolehkan kami memaparkan laman web kami dalam format dan bahasa yang sesuai, untuk mengesahkan transaksi anda, dan untuk mengekalkan kandungan Beg anda semasa membeli-belah dalam talian di apple.com.
Kuki Lain. Kuki ini digunakan untuk memahami cara pelawat berinteraksi dengan laman web dan perkhidmatan dalam talian kami, termasuk dengan membantu kami menilai keberkesanan iklan dan carian web. Apple juga menggunakan kuki ini untuk mengingati pilihan yang anda buat semasa melayari web, jadi kami dapat memberi anda pengalaman yang disesuaikan.
Jika anda tidak mahu Apple menggunakan kuki, kami menyediakan anda kaedah untuk menyahdayakan penggunaannya. Jika anda ingin menyahdayakan kuki dan anda menggunakan pelayar web Safari, pilih "Sekat semua kuki" dalam seting privasi Safari. Jika anda menggunakan pelayar lain, hubungi penyedia anda untuk mengetahui cara menyahdayakan kuki. Ciri tertentu laman web Apple mungkin tidak tersedia jika semua kuki dinyahdayakan.
Selain kuki, Apple menggunakan teknologi lain yang membantu kami mencapai objektif yang serupa.
Dalam beberapa mesej e-mel yang dihantar oleh Apple kepada anda, kami menyediakan "URL klik lalu" yang memautkan anda kepada kandungan di laman web Apple. Apabila anda mengklik salah satu URL ini, URL akan melalui pelayan web yang berasingan sebelum tiba pada halaman destinasi pada laman web kami. Kami menjejaki klik lalu ini untuk membantu kami menentukan minat dalam topik tertentu dan mengukur sama ada kami berkomunikasi dengan anda dengan berkesan. Jika anda tidak mahu dijejaki melalui cara ini, anda sepatutnya tidak mengklik pautan teks atau grafik dalam mesej e-mel.
Apple secara amnya mengendalikan data yang kami kumpulkan menggunakan kuki dan teknologi serupa sebagai data bukan peribadi. Walau bagaimanapun, setakat alamat Protokol Internet (IP) atau pengecam yang serupa dianggap sebagai data peribadi oleh undang-undang tempatan, kami turut mengendalikan pengecam ini sebagai data peribadi di rantau tersebut. Selain itu, Apple kadang-kadang menggabungkan data bukan peribadi yang dikumpulkan daripada teknologi ini dengan data peribadi lain yang dimiliki oleh Apple. Apabila kami menggabungkan data dengan cara ini, kami mengendalikan data gabungan sebagai data peribadi untuk tujuan Dasar Privasi ini.
Iklan yang dihantar oleh platform pengiklanan Apple boleh muncul dalam app App Store, Apple News, Stocks dan Apple TV bergantung pada lokasi anda. Platform pengiklanan Apple tidak menjejak anda, bermakna platform tidak mengaitkan data pengguna atau peranti yang dikumpulkan daripada aplikasi kami dengan data pengguna atau peranti yang dikumpulkan daripada pihak ketiga untuk tujuan pengiklanan disasarkan atau pengukuran pengiklanan dan tidak berkongsi data pengguna atau peranti dengan broker data.
Jika anda tidak mahu menerima iklan yang menyasarkan minat anda daripada platform pengiklanan Apple dalam aplikasi tersebut, anda boleh memilih untuk menyahdayakan Iklan Diperibadikan yang akan memilih keluar Akaun Apple anda daripada menerima iklan tersebut tanpa mengira peranti yang anda gunakan. Pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS, anda boleh menyahdayakan Iklan Diperibadikan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple dan mengetik untuk mematikan Iklan Diperibadikan. Pada Mac anda, anda boleh menyahdayakan Iklan Diperibadikan melalui Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Privasi > Pengiklanan, kemudian menyahpilih Iklan Diperibadikan. Anda mungkin masih melihat iklan dalam App Store, Apple News atau Stocks berdasarkan kandungan seperti pertanyaan carian anda atau saluran yang sedang anda baca. Jika anda menyahdayakan Benarkan Aplikasi untuk Minta untuk Jejak, aplikasi pihak ketiga tidak dapat meminta untuk menggunakan Pengecam Iklan, pengecam bukan peribadi yang dilayani oleh sistem operasi pada peranti anda, untuk menjejaki anda di seluruh aplikasi dan laman web yang dimiliki oleh syarikat lain.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengiklanan dan privasi yang dihantar oleh Apple, lawati apple.com/legal/privacy/data/ms/apple-advertising.
-
Pemindahan Data Peribadi Antara Negara
Produk dan tawaran Apple menghubungkan anda dengan dunia. Untuk melakukannya, data peribadi anda mungkin dipindahkan atau diakses oleh entiti di seluruh dunia, termasuk syarikat bersekutu Apple, untuk melakukan aktiviti pemprosesan seperti yang dihuraikan di dalam Dasar Privasi ini berhubung dengan penggunaan produk dan perkhidmatan kami oleh anda. Apple mematuhi undang-undang tentang pemindahan data peribadi antara negara untuk memastikan data anda dilindungi, di mana-mana sahaja maklumat tersebut berada.
Entiti Apple yang mengawal data peribadi anda mungkin berbeza bergantung pada tempat anda tinggal. Sebagai contoh, maklumat Apple Store dikendalikan oleh entiti runcit individu di setiap negara dan data peribadi yang berkaitan dengan Perkhidmatan Media Apple mungkin dikendalikan oleh pelbagai entiti Apple seperti yang ditunjukkan dalam terma perkhidmatan. Jika anda tidak menetap di A.S., data peribadi anda mungkin diproses oleh Apple Inc. dan syarikat bersekutu Apple lain bagi pihak entiti Apple yang mengawal data peribadi untuk bidang kuasa anda. Sebagai contoh, Imej dan data berkaitan yang dikumpulkan oleh Apple di seluruh dunia untuk menambah baik Apple Maps dan bagi menyokong ciri Look Around kami dipindahkan ke Apple Inc. di California.
Data peribadi yang berkaitan dengan individu yang menetap di Kawasan Ekonomi Eropah, United Kingdom dan Switzerland dikawal oleh Apple Distribution International Limited di Ireland. Pemindahan data peribadi Antarabangsa Apple yang dikumpulkan di Kawasan Ekonomi Eropah, United Kingdom dan Switzerland ditadbir oleh Fasal Kontrak Standard. Jika anda mempunyai pertanyaan atau mahukan salinan Fasal Kontrak Standard Apple, anda boleh menghubungi kami di https://www.apple.com/my/privacy/contact.
Data peribadi yang dikumpulkan oleh Apple atau syarikat sekutu Apple di seluruh dunia secara umumnya disimpan oleh Apple Inc. di Amerika Syarikat. Tanpa mengira tempat data peribadi anda disimpan, Apple mengekalkan tahap perlindungan dan langkah perlindungan yang sama tinggi.
Amalan privasi Apple, seperti yang diterangkan dalam Dasar Privasi ini, mematuhi Sistem Peraturan Privasi Rentas Sempadan (CBPR) Global dan Sistem Pengecaman Privasi untuk Pemproses (PRP) Global. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Sistem CBPR dan Sistem PRP Global, lawati Forum CBPR Global. Untuk melihat perakuan kami, lawati Direktori Pematuhan Sistem CBPR. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang skop penyertaan kami, atau untuk menyerahkan pertanyaan privasi melalui Program Kebangsaan BBB, Ejen Akauntabiliti kami, lawati:
Data peribadi berkaitan dengan individu di Republik Rakyat China mungkin diproses oleh Apple di negara di luar Republik Rakyat China, seperti Apple Inc. di Amerika Syarikat atau Apple Distribution International Limited di Republik Ireland. Di mana-mana ini berlaku, pengumpulan data akan dilakukan mengikut undang-undang tempatan, termasuk Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi. Bagi tujuan pemprosesan yang dinyatakan dalam Dasar Privasi ini, Apple juga mungkin memindahkan data peribadi sedemikian kepada pembekal perkhidmatan pihak ketiga, yang mungkin akan menyimpan atau memindahkan data tersebut ke luar Republik Rakyat China. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lawati Pendedahan Privasi Tanah Besar China.
-
Komitmen Keseluruhan Syarikat Kami terhadap Privasi Anda
Untuk memastikan data peribadi anda selamat, kami menyampaikan garis panduan privasi dan keselamatan kami kepada pekerja Apple dan menguatkuasakan langkah perlindungan privasi dengan ketat dalam syarikat kami.
-
Soalan Privasi
Jika anda mempunyai pertanyaan tentang Dasar Privasi atau amalan privasi Apple, termasuk tindakan yang pembekal perkhidmatan pihak ketiga bertindak bagi pihak kami, atau anda mahu menghubungi Pegawai Perlindungan Data kami, anda boleh menghubungi kami di apple.com/my/privacy/contact atau hubungi nombor Sokongan Apple untuk negara atau rantau anda. Anda juga boleh mengajukan soalan kepada kami tentang cara menyerahkan aduan privasi dan kami akan berusaha untuk membantu.
Apple memandang serius terhadap persoalan privasi anda. Pasukan khusus akan menyemak pertanyaan anda untuk menentukan cara terbaik untuk bertindak balas terhadap pertanyaan atau kebimbangan anda, termasuk pertanyaan yang diterima sebagai tindak balas kepada permintaan akses atau muat turun. Dalam kebanyakan keadaan, semua perhubungan substantif menerima respons dalam masa tujuh hari. Dalam keadaan lain, kami mungkin memerlukan maklumat tambahan atau memaklumi anda bahawa kami memerlukan lebih banyak masa untuk memberikan respons.
Apabila aduan anda menandakan suatu penambahbaikan yang boleh dilakukan tentang cara kami menangani isu privasi, kami akan mengambil langkah untuk membuat kemas kini tersebut semasa peluang munasabah yang seterusnya. Jika isu privasi telah menyebabkan impak yang negatif terhadap anda atau orang lain, kami akan mengambil langkah untuk menangani hal ini dengan anda atau orang tersebut.
Anda boleh pada bila-bila masa — termasuk jika anda tidak berpuas hati dengan respons Apple — merujuk aduan anda kepada pengawal selia yang berkenaan. Jika anda bertanya kepada kami, kami akan berusaha untuk memberi anda maklumat tentang tempat aduan yang berkaitan yang mungkin terpakai pada situasi anda.
Apabila terdapat perubahan penting pada Dasar Privasi ini, kami akan menyiarkan notis di laman web ini selewat-lewatnya seminggu sebelum melakukannya dan terus menghubungi anda tentang perubahan tersebut jika kami memiliki data anda dalam fail.