Pergi ke kandungan

Mimpi Kamar Merah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Cerita tentang Batu dialihkan ke sini. Untuk kegunaan lain, sila lihat Cerita tentang Batu (nyahkekaburan).
Mimpi Kamar Merah
Umum
PengarangCáo Xuěqín
Tajuk asal
紅樓夢
NegaraChina
BahasaBahasa Cina
GenreNovel
Tarikh penerbitan
Abad ke-18
Jenis media
Cetak (kulit tebal)


Mimpi Kamar Merah  (Cina Tradisional: 紅樓夢; Cina Mudah: 红楼梦; pinyin: Hónglóu mèng), juga dikenali sebagai Mimpi Rumah Agam Merah (nama judul buku terbitan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia), Mimpi di Mahligai Merah (nama judul buku terbitan Yayasan Karyawan dan PEJATI), Cerita tentang Batu atau Babad tentang Batu (Cina Tradisional: 石頭記; Cina Mudah: 石头记; pinyin: Shítóu jì) ialah salah satu daripada Empat Novel Klasik Agung dalam kesusasteraan Cina. Antara mahakarya-mahakarya ini, Mimpi Kamar Merah seringnya dianggap sebagai puncak fiksyen klasik Cina.

Novel itu telah diterjemahkan ke dalam 20 buah bahasa, baik dalam versi ringkas, seperti bahasa Jerman, Itali, Greek dan Hungary, atau dalam versi lengkap, seperti bahasa Jepun, Korea, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Rusia.

Ditulis pada pertengahan abad ke-18 semasa Dinasti Qing, pengarangnya dikatakan Cáo Xuěqín (Cao Zhan). Ketulenan 40 bab terakhir dalam novel itu telah dipersoalkan. Cao Xueqin menulis 80 buah bab yang pertama, tetapi meninggal dunia sebelum 40 buah bab yang terakhir dapat disiapkan. Penerbitnya kemudian menyiapkan novel itu melalui penyemakan ke atas apa yang dituntut sebagai draf teks Cao Xueqin yang lebih awal.

Terdapat dua buah kawah di asteroid 433 Eros yang dinamai sempena Jia Baoyu dan Lin Daiyu, watak utama novel ini.


Jalan cerita

[sunting | sunting sumber]

Templat:Spoiler

Salah satu adegan daripada cerita, dilukis oleh Xu Baozhuan (lahir 1810)

Mimpi Kamar Merah  dipercayai merupakan sebuah novel separa autobiografi yang mencerminkan nasib keluarga Cao Xueqin sendiri. Ia bertujuan untuk dijadikan suatu peringatan kepada wanita-wanita yang dikenali oleh Cao pada masa mudanya: para kawan, saudara, dan pembantu, sebagaimana yang diperincikan oleh pengarang dalam bab pertama.

Novel ini pada dirinya merupakan sebuah catatan berepisod yang terperinci tentang hidup-hidup keluarga luas Jia yang terdiri daripada dua cabang, iaitu keluarga Ning-guo dan Rong-guo yang tinggal di dua buah halaman keluarga yang bersebelahan di Beijing, ibu negara Dinasti Qing. Nenek moyang mereka dijadikan Duke dan pada permulaan novel ini, kedua-dua keluarga masih merupakan antara keluarga-keluarga yang terbilang di dalam ibu negara. Pada asalnya terlalu kaya dan berpengaruh, dengan seorang ahli keluarga merupakan gundik empayar, keluarga ini akhirnya tidak disukai lagi oleh Maharaja dan rumah-rumah agam mereka dijarah dan dirampas. Novel ini menceritakan kejatuhan keluarga mereka dari puncak prestij dan tertumpu pada sekitar 20 watak utama serta melebihi 400 watak kecil.

Cerita ini didahului dengan konotasi yang berbau Taoisme dan Buddhisme. Seketul batu sentien yang ditinggalkan oleh Dewi Nüwa ketika membaiki syurga masuk ke alam manusia selepas meminta-minta seorang sami Taoisme serta seorang sami Buddhisme supaya membawanya untuk melihat dunia. Jia Baoyu, watak utama, kelihatan seorang pewaris remaja keluarga yang merupakan penjelmaan semula Batu (bagaimanapun, manuskrip Jia Xu yang paling dapat dipercayai mengatakan bahawa Batu dan Jia Baoyu adalah entiti-entiti yang berasingan, walaupun berkait). Pada hayat dahulu, beliau mempunyai hubungan cinta dengan sekuntum bunga yang dijelma semula sebagai Lin Daiyu, sepupu Baoyu yang selalu sakit serta yang terlalu mengikut perasaan. Bagaimanapun, Baoyu ditakdir berkahwin dengan lagi seorang sepupu, Xue Baochai, walaupun beliau bercinta dengan Daiyu.

Novel ini yang menceritakan cinta tiga segi yang berlatarbelakang pada nasib keluarga yang merosot adalah luar biasa bukan sahaja dari segi bilangan watak yang amat besar — melebihi 400 watak pada keseluruhannya, kebanyakannya wanita — serta ruang lingkup psikologinya, tetapi juga kerana pemerhatian yang tepat dan terperinci terhadap struktur-struktur hidup dan sosial di China abad ke-18.

Bahasa dan watak

[sunting | sunting sumber]

Novel Mimpi Kamar Merah  yang ditulis dalam bahasa Cina vernakular dan bukan bahasa Cina klasik ialah salah satu karya yang mengasaskan kesahan idiom vernakular Cina. Pengarangnya mahir dalam bahasa Cina klasik, dengan sebahagian karya ini ditulis dalam bahasa separa-wenyan  ilmiah dan puisi Cina. Perbualan-perbualan ditulis dalam loghat Mandarin yang memberikan gambaran yang hidup yang kemudian menjadi asas bagi bahasa Cina pertuturan moden. Tulisan Cao juga terpengaruh setakatnya oleh loghat Mandarin Nanjing, tempat tinggal keluarganya pada awal dekad 1700-an.

Mimpi Kamar Merah  mengandungi hampir 30 watak yang boleh dianggap sebagai watak utama, serta ratusan watak sampingan. Cao menumpukan novel ini pada Jia Baoyu, protagonis lelaki, serta saudari-saudari di sekelilingnya dan pada suatu ketika bertujuan untuk menjudulkan buku ini sebagai Dua Belas Wanita Jelita dari Jinling. Wanita-wanita dalam novel ini diberikan tumpuan utama dan seringnya ditonjolkan sebagai lebih berupaya daripada kaum lelaki. Mereka juga amat berilmu, berbanding dengan wanita-wanita yang lain pada zaman Dinasti Qing itu.

Watak-watak utama

[sunting | sunting sumber]

Jia Baoyu - protagonis utama. Beliau merupakan anak remaja lelaki kepada Jia Zheng dan isterinya, Lady Wang. Dilahirkan dengan seketul batu jed yang berkilau di mulutnya (Batu yang dimaksudkan dalm judul karya ini), beliau ialah pewaris lelaki kepada jurai keturunan Rongguo. Bertentangan dengan kehendak bapanya yang tegas dan yang menganuti kepercayaan Konfusianisme, Baoyu lebih suka akan kesusasteraan biasa berbanding dengan Empat Buku dan walaupun amat bijak, tidak suka menemani para birokrat serta kebanyakan orang lelaki. Peka dan penuh belas kasihan, beliau membuat ungkapan Cina yang termasyhur seperti yang berikut: "Perempuan ialah tulang dan daging yang diperbuat daripada air, manakala lelaki ialah tulang dan daging yang diperbuat daripada lumpur". Mimpi Kamar Merah  terutamanya merupakan sebuah cerita mengenai cinta Baoyu terhadap Lin Daiyu. Malangnya, Daiyu meninggal dunia dan Baoyu berkahwin dengan Xue Baochai.

Lin Daiyu - sepupu perempuan yatim serta kekasih kepada Jia Baoyu. Beliau merupakan anak perempuan kepada Lin Ruhai, seorang pegawai cendekiawan Jinling dan isterinya, Jia Min, kakak (atau adik) Jia Zheng. Novel yang betul-betul bermula pada Bab 3 dengan pemergian Daiyu daripada rumah Rongguo. Walaupun terlalu mengikut perasaan, mudah cemburu, serta menghidap penyakit batuk kering, beliau juga mempunyai bakat kesusasteraan yang tinggi. Daiyu adalah penjelmaan semula Rumput Mutiara Merah Lembayung yang tujuannya dalam kelahiran terkini adalah untuk menebus hutang budi penyiram air ketuhanannya yang dilahirkan semula sebagai Baoyu dengan "hutang air mata". Beliau akhirnya meninggal dunia.

Xue Baochai - sepupu perempuan Jia Baoyu yang lain dan akhirnya isteri kepadanya. Anak perempuan tunggal kepada Mak Cik Xue, kakak (atau adik) kepada ibu Baoyu dan Xue Pan, beliau merupakan watak lawan kepada Lin Daiyu. Sedangkan Daiyu seorang yang tidak mengikut kebiasaan dan terlalu peka, Baochai adalah seorang yang bersikap wajar, bijaksana, serta merupakan kesayangan keluarganya, suatu contoh unggul gadis feudal Cina. Loket emas Baochai dan batu jed Baoyu dianggap sebagai menunjukkan pertalian perkahwinan yang sempurna, akan tetapi perkahwinan mereka amat sedih.

Nenek Jia, née Shi - juga dipanggil Matriark atau Maharani Balu. Nenek kepada Baoyu dan Daiyu, beliau bukan sahaja merupakan kuasa yang tertinggi dalam keluarga Rongguo tetapi juga merupakan orang yang tertua dan yang paling dihormati di dalam seluruh suku. Beliau yang amat memanjakan keturunannya mempunyai dua orang anak lelaki, Jia She dan Jia Zheng, serta seorang anak perempuan, Min, iaitu ibu Daiyu.

Shi Xiangyun - dua pupu Jia Baoyu oleh Nenek Jia. Beliau yang menjadi anak yatim piatu sejak masa bayi lagi dibesarkan oleh bapa dan mak saudara sebelah ibunya. Seorang yang bersikap terus terang dan riang, dengan luas pengetahuannya yang setanding dengan Baochai atau Daiyu, beliau akhirnya mempunyai perkahwinan yang baik tetapi atas alasan yang tidak dapat dielakkan terpaksa berpisah.

Jia Yuanchun - kakak Baoyu yang sekurang-kurangnya sedekad lebih tua daripadanya. Dipilih dengan teliti oleh pihak berkuasa sebagai pembantu istana, beliau akhirnya menjadi Gundik Empayar. Pengaruhnya di dalam istana menandakan puncak sukunya sebelum kemerosotan kemudian. Beliau akhirnya meninggal dunia tetapi bagaimana beliau mati, tiada seorang pun yang tahu.

Wang Xifeng - sepupu ipar Baoyu yang lebih tua, isteri kepada Jia Lian, serta anak saudara kepada Lady Wang dan oleh itu, berkait dengan Baoyu bukan sahaja secara sedarah tetapi juga melalui perkahwinan. Jauh lebih tua daripada Baoyu, amat berupaya, bijak dan kekadangnya licik, beliau bertanggungjawab kepada pengendalian harian serta kewangan keluarga. Namanya diterjemahkan sebagai "Phoenix", burung mitos yang berkuasa. Beliau akhirnya juga meninggal dunia.

Jia Zheng - bapa Baoyu, seorang cendekiawan Konfusianisme yang mementingkan disiplin. Takut akan kemungkinan bahawa anak tunggalnya akan menjadi jahat, beliau mengenakan peraturan yang ketat serta kekadangnya hukuman dera ke atas anaknya. Beliau mempunyai seorang isteri serta dua orang gundik.

Lady Wang - ibu Baoyu, seorang penganut Buddhisme. Tidak banyak terlibat dalam hal ehwal kewangan keluarga, beliau masih mempunyai setakat kuasa. Beliau disalahkan kerana kematian Qingwen, pembantu perempuan Baoyu.

Jia Yingchun - sepupu perempuan Baoyu yang lebih tua. Lemah tetapi baik hati serta seorang penganut Taoisme yang warak, beliau dijual sebagai isteri kepada seorang jeneral yang zalim. Akhirnya beliau meninggal dunia.

Jia Tanchun - adik perempuan tiri Baoyu oleh Gundik Zhao. Kasar dan bersifat terlalu terus terang, beliau yang hampir sama keupayaannya dengan Wang Xifeng pernah mengambil alih pengendalian kewangan keluarga buat sementara ketika Wang Xifeng jatuh sakit. Wang Xifeng sendiri memujinya secara peribadi tetapi merintih bahawa Jia Tanchun "dilahirkan daripada rahim yang salah". Jia Tanchun terpaksa pergi jauh daripada rumahnya.

Li Wan - kakak ipar Baoyu, dan balu abang Baoyu, Zhu. Tugas utamanya adalah untuk membesarkan anak lelakinya, Lan.

Jia Xichun - dua pupu Baoyu daripada keluarga Ningguo, tetapi dibesarkan di Rumah Agam Rongguo. Seorang pelukis yang berbakat, beliau seorang penganut Buddhisme yang warak yang akhirnya menjadi biarawati.

Mak Saudara Xue - mak saudara sebelah ibu Baoyu, serta ibu kepada Pan dan Baochai.

Xue Pan - abang Baochai, seorang hidung belang yang malas yang merupakan buli tempatan di Jinling. Tidak begitu berilmu, dia pernah membunuh seorang lelaki disebabkan seorang pembantu perempuan, dan menebus kes pematian orang itu melalui wang.

Jia Lian - suami Xifeng, sepupu sebelah bapa Baoyu yang lebih tua, serta kaki perempuan yang terkenal.

Miaoyu - biarawati muda daripada biara Buddhisme keluarga Rongguo. Jelita, berbakat, tetapi menghina.

Nenek Liu - wanita luar bandar yang menyelamatkan Jia Qiaojie, anak perempuan Wang Xifeng.

Xiren - pembantu perempuan utama kepada Baoyu. Seorang yang amat baik, dia akhirnya berkahwin dengan Jiang Yuhan, seorang pelakon.

Qingwen - pembantu perempuan kepada Baoyu. Kasar, angkuh tetapi jelita, Lady Wang kemudian menghalaunya balik ke rumah sendiri dan meninggal dunia di sana.

Zijuan - pembantu perempuan utama Daiyu.

Yuanyang - pembantu perempuan kepada Nenek Jia. Dia menolak pinangan Jia She.

Qin Keqing

Jia Qiaojie - anak perempuan Wang Xifeng. Dijual sebagai pelacur oleh Wang Ren dan Jia Qiang, beliau diselamatkan oleh Nenek Liu.

Fiksyen/Realiti

[sunting | sunting sumber]

Rupa aksara nama keluaga utama, "賈" kelihatan serupa dengan nama keluarga pengarang 曹 dan dalam bahasa Mandarin, mempunyai sebutan yang sama dengan lagi satu aksara Cina "假" yang membawa pengertian "palsu". Oleh itu, Cao Xueqin (曹雪芹) membayangkan bahawa keluarga novel ini adalah kedua-dua bayangan keluarganya sendiri serta juga versi cereka — atau keluarga idamannya. (Baoyu sekali-sekala bermimpi tentang lagi seorang yang juga bernama Baoyu tetapi mempunyai nama keluarga "Zhen" yang mempunyai sebutan yang sama dengan "sebenar".)

Novel ini biasanya dipanggil "Hong Lou Meng" (紅樓夢) - secara harfiahnya bermaksud "Mimpi Rumah Agam Merah". "Rumah Agam Merah" ialah ungkapan untuk bilik-bilik yang didiami oleh anak-anak perempuan orang kaya; oleh itu, judul karya ini difahami sebagai "idaman wanita-wanita yang muda dan kaya". Ia juga boleh difahami sebagai merujuk kepada sebuah mimpi Baoyu di "Rumah Agam Merah" pada Bab 5 novel ini yang membayangkan takdir-takdir banyak watak perempuan. "Merah" juga membayangkan gagasan Buddhisme yang menyatakan bahawa seluruh dunia ini ialah "habuk merah" (紅塵) - iaitu hanya suatu ilusi atau salah tanggapan yang harus dielakkan. Justeranya pandangan novel ini amat selaras dengan kepercayaan-kepercayaan Buddhisme (佛) dan Taoisme (道) yang berpendirian bahawa untuk mencapai kesedaran, seseorang harus menyedari bahawa dunia ini sebenarnya hanya merupakan sebuah mimpi yang harus kita terjaga.

Masalah teks

[sunting | sunting sumber]

Masalah-masalah teks novel ini adalah terlalu rumit dan telah menjadi tajuk untuk banyak penelitian kritis serta tekaan pada zaman moden. Cao Xueqin tidak hidup cukup lama untuk menerbitkan novelnya, dan hanya manuskrip-manuskrip yang ditulis tangan wujud selepas kematiannya sehingga tahun 1791 apabila versi cetak yang pertama diterbitkan. Versi ini yang dikenali sebagai edisi Chenggao mengandungi suntingan-suntingan dan semakan-semakan yang tidak diberikan kebenaran oleh Cao.

Versi-versi manuskrip awal

[sunting | sunting sumber]

Sehingga abad ke-20, novel ini diterbitkan tanpa nama pengarang. Bagaimanapun sejak dari abad ke-20, 80 bab pertama novel ini telah disetujui secara umum sebagai ditulis oleh Cao Xueqin, selepas analisis-analisis Hu Shi.

Versi-versi ditulis tangan yang awal — kebanyakannya mengandungi 80 bab, akan tetapi kesemuanya tidak lengkap — mengandungi ulasan-ulasan dan anotasi-anotasi yang ditulis dengan dakwat merah. Pengulas-pengulas ini jelasnya sendiri kenal akan pengarang, dengan sesetengah mereka dipercayai merupakan ahli-ahli keluarga Cao Xueqin sendiri. Pengulas yang paling terkenal ialah Bekas Dakwat Batu Merah (脂砚斋), dengan manuskripnya merupakan versi teks yang paling boleh dipercayai, dan dikenali sebagai "Versi Pemerah Pipi" (脂本) oleh para cendekiawan. Juga antara kira-kira 11 buah manuskrip berasingan yang wujud, terdapat perbezaan-perbezaan kecil dari segi askara, penyusunan semula dan mungkinnya juga penulisan semula yang mengakibatkan setiapnya berbeza sedikit antara satu sama lain.

Menurut apa yang tertulis dalam bab pertama buku ini, Cao Xueqin menyemak novelnya sebanyak lima kali dan meninggal dunia sebelum beliau dapat menghabiskan versi kelima. Menerukkan masalah ini, bahagian buku yang akhir telah hilang. Oleh itu, hanya 80 bab yang wujud yang jelas ditulis oleh pengarang asli.

80 bab yang awal penuh dengan ramalan-ramalan dan bayangan-bayangan yang juga membayangkan bagaimana cerita itu harus diteruskan. Umpamanya adalah jelas bahawa Lin Daiyu akhirnya akan meninggal dunia, Baoyu akan menjadi sami, berbagai-bagai watak akan menderita salji, dan seluruh estet keluarga akhirnya akan dimusnahkan, akibat kebakaran.

Kebanyakan edisi kritis yang moden mendasarkan 80 bab yang pertama pada "Versi Pemerah Pipi".

Versi Cheng Weiyuan dan versi 120-bab Gao E

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1791, Cheng Weiyuan dan Gao E menerbitkan edisi novel taip cerai yang pertama. Ini juga merupakan edisi "lengkap" Cerita tentang Batu  yang pertama yang kemudian dicetak semula sebagai Mimpi Kamar Merah.  Manuskrip Pemerah Pipi yang asli mempunyai 80 bab dan mengakhiri dengan tiga suku jalan cerita yang jelas tidak lengkap. Edisi taip cerai yang diterbitkan pada tahun 1791 mengandungi 120 bab, dengan 80 bab pertama disunting daripada versi Pemerah Pipi, tetapi 40 bab yang berikutnya adalah bab baru.

Pada tahun 1792, edisi kedua diterbitkan dengan pembetulan banyak kesilapan menaip dan menyunting dalam versi 1791. Dalam kata pengantar versi 1792, kedua-dua editor menuntut bahawa mereka telah memasukkan bahagian akhir ceritanya berdasarkan manuskrip-manuskrip kerja oleh pengarang asli yang dibeli daripada seorang penjual.

Perdebatan tentang 40 bab yang terakhir masih berlangsung. Kebanyakan cendekiawan moden mempercayai bahawa bab-bab ini merupakan sebuah tambahan kemudian yang jalan cerita dan mutu prosanya tidak sebaik. Hu Shih mendebatkan bahawa penghabisan cerita ini dipalsukan oleh Gao E; beliau memetik penghabisan versi Chenggao 1791 yang tidak sama dengan berbagai-bagai bayangan yang diberikan dalam Bab 5 kepada watak-watak utama sebagai sokongan untuk pendiriannya.

Bagaimanapun, pengkritik-pengkritik yang lain mencadangkan bahawa Gao E dan Cheng Weiyuan mungkin diperdaya oleh pemalsuan orang lain sebagai karya asli. Beberapa cendekiawan mempercayai bahawa 40 bab yang terakhir ada mengandungi karya Cao sendiri tetapi ini merupakan suatu pandangan minoriti.

Walaupun demikian, buku ini masih diterbitkan dalam versi lengkap 120-bab Cheng Weiyuan dan Gao E dan dibaca. Sesetengah edisi kritis mengalihkan 40 bab terakhir kepada bahagian lampiran untuk menunjukkan bahawa bab-bab tersebut ditulis oleh pengarang lain.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Jonathan D. Spence, The Search for Modern China, ISBN 0-393-30780-8
  • Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 1, The Golden Days. terjemahan David Hawkes. ISBN 0-14-044293-6.
  • Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 2, The Crab-flower Club. terjemahan David Hawkes. ISBN 0-14-044326-6.
  • Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 3, The Warning Voice. terjemahan David Hawkes. ISBN 0-14-044370-3.
  • Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 4, The Debt of Tears. terjemahan John Minford. ISBN 0-14-044371-1.
  • Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 5, The Dreamer Wakes. terjemahan John Minford. ISBN 0-14-044372-X.
  • Tsao Hsueh-Chin (Cao Xueqin), Dream of the Red Chamber, diterjemahkan & diringkaskan oleh Chi-Chen Wang, Doubleday Anchor, 1958. ISBN 0-385-09379-9

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]