Rumah Tukang Kahar

rumah Melayu yang dibina oleh Tukang Kahar

Rumah Tradisional Tukang Kahar, yang turut dikenali sebagai Rumah Tukang Kahar, ialah sebuah rumah tradisional Melayu yang terletak bersebelahan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti. Rumah ini dibangunkan oleh Tukang Kahar iaitu seorang tukang kayu yang telah membina Istana Lama Seri Menanti. Rumah yang asalnya terletak di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah itu telah dipindahkan pada 2014 dan didirikan semula untuk lawatan pengunjung.[2]

Rumah Tukang Kahar
Jenisrumah Melayu
LokasiNegeri Sembilan
Bandar terdekatSeri Menanti
Dibina pada1880-an
Dibaikpulih pada2014 - 2015[1]
Pemilik asalKahar Siak Bakhi

Sejarah

sunting

Rumah ini pada asalnya dimiliki oleh seorang tukang kayu dan pengukir mahir bernama Kahar Siak Bakhi yang lebih dikenali sebagai Tukang Kahar. Beliau terbabit membina Istana Lama Seri Menanti pada 1902 dan masjid-masjid di sekitar Seri Menanti dan Kuala Pilah. Tukang Kahar dikatakan mewarisi kemahiran pertukangan daripada bapanya iaitu Siak Bakhi yang juga bekerja sebagai tukang kayu dan berasal dari Acheh. Beliau membina rumah ini pada 1880-an sebagai tempat tinggal beliau dan keluarga.[2]

Rumah ini asalnya terletak menghadap sungai Seri Menanti,[3]:230 sebelum dipindahkan ke tapak baru pada 1910-an. Selepas meninggal pada usia 60 tahun, beberapa perubahan telah dilakukan oleh pewarisnya. Pada 1969, pangkal dan hujung serambi dirobohkan. Selepas itu, rumah dapur digantikan dengan rumah dapur bawah separa batu-bata dan kayu, sedangkan dinding jenis janda ria di kiri digantikan dengan tindih kasih. Pada 1970-an pula, atap rumbia diganti dengan atap zink kerana berlaku kebocoran. Setelah ditinggalkan terbiar pada 2010, rumah ini kemudian telah dibaik pulih pada akhir 2014.[1][2]

Seni bina

sunting

Rumah Tukang Kahar ialah rumah tradisional Negeri Sembilan berbentuk "rumah tiang 20", yang dibina khusus untuk orang yang kaya dan berkedudukan. Ia asalnya terdiri daripada rumah tangga, serambi, rumah ibu, kelek anak, rumah pelantar kecil dan rumah dapur. Rumah tangganya terletak di hadapan dan ditutup dengan bumbung pisang sesikat. Pintunya pula mempunyai papan serong di atas, kekisi atau kayu kecil berlarik di tengah, dan papan kembung di bawah.[3]:230

Rumah ini menggunakan teknik ukiran tebuk tembus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Corak flora yang ditemukan termasuklah pucuk paku, lumut, akar segagang, bunga matahari, bunga Cina dan buah pala. Corak fauna pula termasuk ayam mematuk, kucing tidur, paruh bangau, kumbang dan rama-rama. Kesemua tiang hadapannya diukir dengan corak berbeza di atas dan di bawah, dan dari satu tiang ke satu tiang yang lain.[3]:232

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ a b Sulaiman, Mohd Sabere (2016). Challenges in the conservation of the Negeri Sembilan Traditional Malay House (NSTMH) and establishment of a conservation principles framework (PDF) (Tesis). The University of Edinburgh. m/s. 1–457.
  2. ^ a b c Amran Yahya (13 Februari 2020). "Rumah Tukang Kahar dibuka untuk lawatan". Harian Metro.
  3. ^ a b c Mohamad Tajuddin Haji Mohamad Rasdi (2005). The Architectural Heritage of the Malay World: The Traditional Houses. Penerbit UTM. m/s. 230-246. ISBN 9835203571.