Alkitab Versi Borneo

Alkitab Versi Borneo (disingkatkan sebagai AVB) merupakan sebuah terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia. Diterbitkan oleh LAB Network di Kota Kinabalu, Sabah, pada bulan Januari 2016, AVB menawarkan terjemahan baharu yang lebih sesuai untuk konteks bahasa kebangsaan. Terjemahan ini menggunakan Bahasa Malaysia formal dengan pendekatan yang lebih mendekati terjemahan harfiah.

Alkitab Versi Borneo
Kulit Alkitab Versi Borneo
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Malaysia
GenreKitab Suci
Penerbitan
PenterjemahLAB Network
Diterbitkan pada
Januari 2016
PenerbitLAB Network

Peranan penting AVB

sunting

Negeri Sabah dan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik dengan bahasa ibunda yang berbeza-beza. Dalam konteks ini, penggunaan Bahasa Malaysia sebagai medium pendidikan agama Kristian telah diamalkan lebih daripada seratus tahun, khususnya di kawasan pedalaman.

Sebelum penerbitan AVB, Alkitab dalam Bahasa Indonesia digunakan secara meluas sebagai bahan rujukan. Walau bagaimanapun, perbezaan dalam tatabahasa dan istilah antara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia menimbulkan cabaran pemahaman kepada penganut Kristian di Malaysia. AVB diterbitkan untuk memenuhi keperluan ini dengan menyediakan terjemahan yang lebih relevan dan terkini.

Keistimewaan AVB

sunting

Antara ciri utama AVB ialah kualiti terjemahan yang dikawal ketat oleh pakar-pakar bahasa tempatan dan tenaga kerja antarabangsa. Terjemahan ini mematuhi teks asal dalam Bahasa Ibrani dan Yunani Purba, sambil memperkenalkan istilah baharu yang sesuai dengan konteks bahasa tempatan. Nota kaki dan Kamus Alkitab turut disediakan untuk memberi penjelasan tambahan bagi istilah-istilah baharu.

Antara istilah baharu yang diperkenalkan termasuk:

  • perbenaran (righteousness), yang dibezakan daripada kebenaran (truth).
  • jururasa santapan (cupbearer).
  • batu pejal (solid rock).
  • roh durjana (evil spirit).
  • azab (plagues as divine retribution).

Sambutan masyarakat

sunting

AVB mendapat sambutan positif selepas pelancaran rasminya di Kota Kinabalu pada 19 April 2016 dan di Kuala Lumpur pada 25 Mei 2016. Ketiga-tiga Presiden Sidang Injil Borneo (SIB/BEM Sabah, Sarawak, dan Semenanjung) menyatakan sokongan rasmi terhadap AVB sebagai salah satu rujukan utama untuk penganut Kristian di Malaysia.

Selain itu, pemimpin gereja-gereja utama seperti Gereja Methodist Malaysia, Gereja Assemblies of God, Gereja Anglican, dan Pertubuhan Bible Malaysia turut menyokong penerbitan ini, menjadikannya alat penting bagi pendidikan dan liturgi Kristian di Malaysia.

LAB Network

sunting

LAB Network ialah sebuah rangkaian yang terdiri daripada pastor dan pemimpin Kristian di Sabah. Organisasi ini bertanggungjawab untuk penerbitan AVB serta bahan kesarjanaan berkaitan Alkitab bagi komuniti Kristian di Malaysia. Usaha ini memfokuskan kepada keperluan masyarakat Orang Asli, pribumi Sabah dan Sarawak, serta kumpulan minoriti seperti Cina dan India yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi harian. Singkatan “LAB” membawa maksud “Literature And Bible.”

Rujukan

sunting