Tembok Trabzon
Tembok Trabzon (atau "Tembok Trebizond") merupakan tembok pertahanan yang mengelilingi kota lama Trabzon, timur laut Turki. Kubu-kubu ini kadangkala dipanggil Istana Trabzon (Turki: Trabzon Kalesi ). Walau bagaimanapun, ia bukan digunakan sebagai istana tetapi tembok kota. Dibina di atas dasar dari zaman Rom dan dengan batu potong daripada struktur-struktur lama di tapaknya, tembok ini memanjang dari bukit di bahagian belakang kota lama ke pantai Laut Hitam. Tembok ini membahagikan lagi bandar itu kepada tiga bahagian; Pekan Hulu atau "kubu" (Yukari Hisar), Pekan Tengah (Orta Hisar) dan Pekan Hilir (Aşağı Hisar).[1] Pekan hulu dan tengah diapit oleh lurah-lurah curam yang ditarah oleh sungai Zagnos (Iskeleboz) di barat dan Tabakhane (Kuzgun) di timur, manakala pekan hilir memanjang ke barat Zagnos (lihat pelan di sebelah kanan).
Tembok Trebizond | |
---|---|
Trabzon, Turki | |
Koordinat | 41°00′13″N 39°43′11″E / 41.00371°N 39.71978°E |
Jenis | Tembok kota, benteng |
Maklumat tapak | |
Dibuka kepada orang awam | Ya, kecuali runtuhan istana di bahagian hulu bandar (yang masih sedang digali setakat tahun 2022) |
Status | Sebahagian besar tembok masih utuh. |
Sejarah tapak | |
Dibina oleh | Mungkin kaum Hayasa-Azzi atau Syro-Het sisa-sisa: Empayar Rom Empayar Byzantium Empayar Trebizond Empayar Uthmaniyah |
Dimusnahkan | Bahagian timur laut |
Pekan Hulu berfungsi sebagai benteng dan akropolis bandar itu. Bentengnya dipercayai adalah bahagian pertama yang dibina pada tahun 2000 SM. Beberapa sumber awal menyebut tentang runtuhan binaan-binaan lain seperti hipodrom, menara, tempat mandi dan istana. Benteng ini mengalami pelbagai pengubahsuaian dalam sejarah. Tembok Kubu Hulu lebih tinggi daripada bahagian-bahagian lain. Ia lebih kukuh di selatan dengan dinding dan menara yang lebih tinggi dan tebal. Semasa zaman Rom, sebuah saluran air telah dibina untuk membekalkan Pekan Hulu dengan sumber air tawar. Pekan Hulu boleh diakses melalui pintu berganda dengan Pekan Tengah. Istana Empayar Trebizond terletak di Pekan Hulu. Selepas bandar itu menyerah kepada tentera Uthmaniyah sebuah masjid kecil dibina di sebelah istana. Beberapa prasasti dari zaman Uthmaniyah, yang ditemui di celah tembok benteng, boleh dilihat di Muzium Trabzon.[1]
Pekan Tengah, yang dibina oleh Alexios II dari Trebizond (memerintah 1297–1330), menyambungkan pekan hulu dan hilir. Ia tidak mempunyai bentuk yang khusus. Dua pintu gerbangnya, Imaret Kapı (harfiah: Gerbang Dapur Amal) dan Zağanos Kapı (Gerbang Zaganos Pasha) terletak di barat. Ia ada dua lagi pintu gerbang di sebelah lain, Tabakhane Kapısı (Pintu Kilang Kulit) dan Kule Kapı (Pintu Menara). Bangunan lain yang terdapat di sini ialah Masjid Orta Hisar (Gereja Panagia Chrysocephalos), rumah agam Gabenor, Jambatan Zağanos, Kule Hamamı (Permandian Menara), Çifte Hamma (Permandian Berkembar), Masjid Amasya, Masjid Şirin Hatun dan Masjid Musa Pasha.[1]
Bandar Hilir terbentang di barat dari Menara Zağanos ke laut. Bahagian benteng ini juga dibina oleh Alexios II dari Trebizond. Walau bagaimanapun, sebuah inskripsi dengan tughra sultan Uthmaniyah Muhammad al-Fatih (memerintah 1444–46 dan 1451–81) terletak di atas pintu gerbang di Moloz Tabya (harfiah: Katelum Batu Kasar). Di timur, terdapat dua pintu, Pazarkapı (Pintu Pasar) dan Mumhane Kapı (Pintu Tukang Lilin). Bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Kubu Hilir ialah Masjid Molla Siyah (Gereja St. Andreas), Masjid Hoca Halil, Masjid Pazarkapı, rumah agam Kundupoğlu dan Yarımbıyıkoğlu, Sekiz Düzenli Hamam (permandian), Tophane Hamamı (permandian), Hacı Arif Hamamı (permandian) dan air pancut İskender Pasha.[1]
Kebanyakan tembok bandar ini masih berdiri dan merupakan antara bangunan tertua di bandar ini. Malah, bahagian tertuanya ditarikhkan berasal dari abad ke-1 Masihi semasa era Empayar Rom. Sumber sejarah memberikan maklumat tentang peringkat-peringkat pembinaannya yang lebih awal. Xenophon, yang melawat bandar pada abad ke-5 SM juga menyebut tentang kewujudan temboknya.[2]
Pada tahun 1921, orang-orang Kristian terakhir yang tinggal di bandar itu diarahkan oleh pihak berkuasa perbandaran untuk membongkar batu-batu kubu era Komnenos untuk digunakan dalam pembinaan jalan raya.[3]
Semasa abad ke-20, lembah di kedua-dua bahagian barat dan timur pekan tengah dan hulu dibinakan pembinaan haram, sehingga ada yang menghalang pemandangan tembok ini. Dalam dua dekad yang lalu, perbandaran Trabzon telah memulakan satu siri projek pembangunan semula di sekitar pekan lama itu. Setakat 2017, lembah Zagnos barat telah diubah menjadi taman dengan pemandangan yang tidak menghalang tembok dan saluran air, dan pembinaan haram di lembah Kuzgun (atau Tabakhane) timur telah dirobohkan. Lembah Kuzgun akhirnya juga dijadikan taman.
Rujukan
sunting- ^ a b c d "Trabzon Kalesi" (dalam bahasa Turki). Kent Haber. Dicapai pada 2012-10-04. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "kh" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ Istana-istana Trabzon (Tr) Artikel mengenai kubu di Trabzon di laman web tempatan Karalahana.com
- ^ Clark, Bruce (2006). Twice a stranger : the mass expulsion that forged modern Greece and Turkey. Cambridge (Massachusetts): Harvard University Press. m/s. 115. ISBN 9780674023680.
Pautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan Tembok Trabzon |
Galeri
sunting-
Tembok
-
Pintu pagar
-
Masjid Ortahisar (bekas Gereja Panagia Chrysocephalos)
-
Masjid Musa Pasha